Skip to main
Logo Malaysiakini

PU Syed teringat perjuangan nabi lepas disaman Baby Shima

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PU Syed menyifatkan saman difailkan seorang penyanyi sensasi terhadapnya sebagai suatu bentuk ujian kepada dia yang berusaha "mencegah kemungkaran" di negara ini.

Dia turut mengaitkan 'ujian' yang dialaminya itu dengan pelbagai cabaran dihadapi para nabi serta orang saleh lain.

“Adakah ini satu musibah atau anugerah yang Allah hantar memberi ujian seterusnya kepada ambe (saya) dalam mencegah kemungkaran yang berleluasa di kalangan masyarakat di bumi Malaysia tercinta ini.

“Para anbiya dan salafuna soleh… ada yang mati dibunuh kerana mencegah kemungkaran dan menyatakan yang hak.

“Kita di akhir zaman ini, secebis dari itu pun masih belum menyamai perjuangan mereka,” kata di media sosial.

Mengiringi hantaran di Instagram itu ialah tanda pagar #AdeAmbeTakut.

Melalui hantaran berkenaan, PU Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak, turut menyertakan pepatah Arab yang bermaksud "berkata benar walaupun pahit".

Semalam, Malaysiakini melaporkan Baby Shima memulakan langkah awalnya untuk menyaman PU Syed kerana mendakwa ada kenyataan dibuat peserta program Pencetus Ummah terbitan sebuah stesen televisyen itu sebagai fitnah.

Turut dinamakan dalam writ saman penyanyi itu ialah Ketua Pemuda PAS Kuantan, Abd Rahman Mat.

Peguam mewakili Baby Shima, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi, berkata pihaknya memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu masing-masing di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

PU Syed dipercayai menuduh penyanyi Siapa Sih Kamu itu dengan tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sesuatu konsert.

Sementara itu, Abd Rahman mendakwa penyanyi dan pelakon terbabit "menjual agama" kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.