Skip to main
Logo Malaysiakini

Riana mampu nampak 'sesuatu' tapi bukan ilmu hitam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pakar ilusi terkenal dunia, Riana menolak tuduhan segelintir pihak yang menyatakan dia menggunakan ilmu hitam dalam setiap persembahan yang dibuatnya.

Sebaliknya, ahli silap mata berasal dari Jakarta, Indonesia itu mendakwa, dia mempunyai keistimewaan untuk melihat sesuatu yang tidak semua orang boleh lihat dengan mata kasar.

“Ketakutan adalah daripada perasaan dan fikiran penonton itu sendiri.

“Saya hanya mengajak penonton bermain dengan mereka yang mungkin tidak bisa (boleh) anda lihat,” katanya ringkas.

Justeru, pemilik nama penuh Marie Antoinette Riana Graharani itu meminta orang ramai untuk hadir membawa objek yang mempunyai nilai sentimental.

“Anda diminta hadir dalam keadaan bersedia. Jadi, bawa objek kecil yang boleh diigenggam pernah dimiliki oleh seseorang yang dikenali tetapi sudah meninggal dunia,” katanya.

Riana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media The Sacred Riana Conjuring Live di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Ahli silap mata itu merupakan juara Asia's Got Talent musim kedua pada 2017.

Acara anjuran Mediaberg yang dijadual berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 Julai ini.

The Sacred Riana Conjuring Live itu akan turut menampilkan persembahan istimewa daripada pemain violin terkenal, Katrin Romanova dan ahli silap mata tempatan, Yihnmg.

Bagaimanapun, Riana, 31, memberi amaran kepada penonton sekiranya sesuatu bakal terjadi kepada mereka.

“Harus diingatkan, memang ada penonton pengsan dalam setiap persembahan saya lakukan sebelum ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai Riani, iaitu patung yang dilihat sering dibawanya ke setiap persembahan, Riana berkata, boneka itu diibaratkan seperti kawan rapat.

Menurut Riana, dia mula “bersahabat” dengan Riani sejak dari kecil.

“Saya dah anggap dia seperti kawan sejati. Saya sering bercakap dengannya.

“Riani juga seperti pelindung saya,” katanya.