Skip to main
Logo Malaysiakini

Wajah Mat London serius, tapi orangnya lucu - Fadhilah Mansor

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas isteri pelakon dan pengarah, Mat London, Fadilah Mansor berkongsi perihal yang mungkin tidak disedari ramai di sebalik wajah serius arwah.

Katanya, dari pandangan luaran Mat London memang kelihatan begitu namun tokoh berkenaan sangat melucukan.

Ujarnya, banyak pengalaman manis dan pahit ketika bergelar sebagai suami dan isteri yang kini tinggal menjadi kenangan.

“Kami banyak kenangan sejak awal mulakan hidup bersama. Apa saya boleh cakap ialah dia memang seorang yang baik.

“Muka saja nampak serius tapi dia seorang yang kelakar,” katanya.

Menurut Fadhilah, 64, dia dan anak-anak sempat merakam momen terakhir bersama sewaktu menyambut Aidil Fitri lalu.

Fadhilah berkata demikian ketika ditemui di pekarangan masjid Mardhiyah, Taman Melawati, Ampang, hari ini.

Menurut Fadhilah, 64, dia dan anak perempuanya, Alia Farhani sudah berkumpul di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak awal pagi tadi, selepas doktor memaklumkan Mat London sudah nazak.

Ketika itu katanya, mereka sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Menurut Fadhilah, turut hadir, anak-anak dari bekas isteri pertama Mat London.

“Kami berada di hospital dari jam 2 pagi hingga 4.30 pagi. Masa itu, ahli keluarga lain juga sudah ramai berkumpul.

“Selepas itu anak sulung lelaki (anak isteri pertama) yang menunggu dan berada di sisi bapanya.

“Sejurus selepas azan Subuh, dia maklumkan arwah sudah meninggal dunia,” ujar Fadhilah.

Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim, meninggal dunia pada pukul 5.57 pagi, hari ini akibat komplikasi pelbagai penyakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.

Mat London, meninggal dunia pada usia 74 tahun.

Presiden Persatuan Pengarah Malaysia (FDAM) itu bercerai dengan Fadhilah pada 2012. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Alia dan Faeesal Asuwat.

Mat London juga pernah menjayakan drama Kampung Pisang Bersiri-Siri, filem 18 Puasa di Kampung Pisang dan Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

Allahyarham juga pernah mengarahkan drama Pukul 2 Petang dan Larut.