Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada cubaan tubuh persatuan baru ganti FDAM, kata Tamimi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahmad Tamimi Siregar mendakwa dia mendengar ura-ura ada sebuah persatuan baru untuk pengarah filem akan ditubuhkan selepas pendaftaran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dibatalkan kerajaan baru-baru ini.

Menurut seniman terkenal itu, persatuan berkenaan bakal ditubuhkan dengan "semangat" yang baru.

Pada masa sama pelakon dan dramatis itu berpendapat pihak yang berkenaan perlu melihat ke depan dan menjadikan apa yang berlaku ke atas FDAM sebagai teladan.

“Khabarnya akan ditubuhkan (persatuan) yang baru dengan semangat baru.

"Jadi, biarlah yang dah 'pergi' itu pergi, kesilapan yang telah berlaku dulu pula sama-sama kita pelajari di mana silap yang terjadi,” katanya.

Menurut Ahmad Tamimi, isu yang timbul sebelum ini mungkin disebabkan ada kesilapan berpunca daripada pihak yang kurang mahir dalam perkembangan teknologi terkini.

Dan tambahnya lagi, dia berasa terkilan apabila hal yang berlaku dalam persatuan tersebut diketahui oleh orang luar walaupun sepatutnya ia boleh dielakkan.

Katanya kemelut yang menimpa FDAM berlaku disebabkan ada kelonggaran dalam pengurusan serta kurang mahir pihak yang berkenaan mengenai sistem Sistem Elektronik Pendaftaran Pertubuhan (eROSES) yang ada pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Sayang sekali, perkara ini sudah jadi berita dan bukan lagi rahsia. Dan FDAM yang asal dibawa pergi sekali bersama arwah (Mat London),” katanya.

Ahmad Tamimi ditemui di Masjid Al-Mardhiah, Ampang semalam semasa dia mengiringi jenazah pengarah dan pelakon Mat London untuk dikebumikan.

Allahyarham Mat London

Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim merupakan presiden FDAM ketika pendaftaran pertubuhan itu dibatalkan ROS baru-baru in. Dia meninggal dunia pada jam 5.57 pagi semalam akibat pelbagai komplikasi penyakit.

Arwah meninggal dunia pada usianya mencecah 74 tahun.

Mat London dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur sejak 13 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan FDAM mengalami masalah selepas ada ahli membuat aduan kepada ROS. Pendaftaran FDAM dibatalkan oleh ROS pada 7 Jun lalu.

Tambah Ahmad Tamimi, sebagai pemikir Allahyarham Mat London sudah menjalankan kerja-kerjanya dengan baik serta bersilaturrahim.

Zulkifli M Osman

Sementara itu, pemangku presiden FDAM, Zulkifli M Osman, berkata tidak manis untuk dia berbicara soal pertubuhan itu buat masa ini kerana menghormati pemergian Mat London yang masih baru.

Namun pada masa sama Zulkifli memberitahu dia tetap berazam untuk melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan FDAM.

“Saya tak nak komen banyak sebab masanya tak sesuai sekarang. Tapi yang saya masih tegaskan FDAM belum berkubur,” katanya.

Zulkifli juga yakin segala isu boleh diselesaikan dan mendapat pengakhiran yang terbaik buat semua anggota FDAM.

“Insya-Allah isu yang timbul akan diperbaiki. Saya sebagai pemangku bertanggungjawab menyebarkan semua info berkaitan persatuan.

“Sekiranya FDAM dapat diselamatkan, kami akan buat mesyuarat agung tahunan (AGM) untuk pemilihan jawatankuasa baru,” katanya.