Skip to main
Logo Malaysiakini

Naratif Baby Shima saman orang berdakwah tak benar, kata peguam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mana-mana pihak yang memberikan pandangan atau komen berkenaan kes saman Baby Shima ke atas dua individu baru-baru ini dinasihat agar berhati-hati.

Peguam penyanyi itu, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi, berkata saman yang dikemukakan Baby Shima itu sebenarnya berkaitan fitnah, bukannya kerana dia melawan orang berdakwah.

“Berkaitan dengan komen-komen beberapa individu termasuk peguam peguam yang menawarkan diri untuk mewakili Pencetus Ummah (PU) Syed dalam tindakan yang dibawa oleh Baby Shima, naratif kononnya anak guam saya melawan orang berdakwah adalah tidak benar.

“Biar mahkamah tentukan tindakan ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu penyanyi Baby Shima atau nama asalnya Nor Ashima Ramli memulakan proses awal untuk menyaman PU Syed dan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Abd Rahman Mat Noor atas dakwaan fitnah.

Writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kedua-dua individu terbabit difailkan masing-masing di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Peguam itu berkata ia difailkan di atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan kepalsuan berniat jahat (malicous falsehood).

Baby Shima, 24, melalui posting di Instagram baru-baru ini berkata: “Tak salah nak berdakwah tapi jangan suka-suka fitnah orang.”

Dalam kenyataan sama, Muhammad Noor Azfar berkata, firmanya memfailkan saman tersebut pada 12 Julai lalu manakala proses serahan writ saman melalui pos acknowledgement of receipt (AR) berdaftar masih dijalankan.

“Oleh itu setakat tarikh ini, hanya saya sebagai peguam, anak guam (Baby Shima) dan pendaftar mahkamah tinggi saja yang telah membaca inti pati saman yang difailkan.

“Justeru, jika ada individu yang mengeluarkan pandangan sama ada ia untuk menidakkan liabiliti ataupun apa apa komentar lanjut yang menyentuh merit kes (isu sama ada fitnah atau nasihat) adalah tidak berasas kerana mereka belum tahu apa isi kandungan, asas dan isu saman tersebut.

“Nasihat saya agar semua pihak dapat menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat pramatang,” katanya.