Skip to main
Logo Malaysiakini

Shamyl Othman dah mangli dibandingkan dengan karya bapa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengarah filem, Shamyl Othman, berkata dia sudah biasa apabila kerjanya dibanding-bandingkan dengan 'air tangan' bapanya, Othman Hafsham.

Justeru, dia sentiasa berlapang dada jika ada pihak turut membanding-bandingkan filem Rahsia versi reboot arahannya dengan karya asal yang mendapat sentuhan bapanya itu.

“Orang banding-bandingkan dengan filem arahan bapa, itu sudah lumrah hidup saya sebagai anak selama ini dan sekarang, dengan adanya Rahsia versi reboot, perbandingan itu lagi boleh dibuat secara langsung.

“Tapi saya reda, kalau penonton lebih sukakan filem yang asal, it’s OK,” katanya.

Bagaimanapun, Shamyl, 43, berkata perasaannya tetap berdebar-debar menantikan reaksi orang ramai yang sudah menonton filem berkenaan nanti.

“Rasanya, itu perkara paling nervous (gementar) buat saya,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan trailer filem tersebut di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, Rahsia asal digarap oleh Othman dan terbit pada 1987. Ia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi filem seram pertama dinobatkan sebagai pemenang filem terbaik dalam Festival Filem Malaysia.

Rahsia turut membolot tujuh anugerah dalam kategori lain termasuk pengarah terbaik pada festival yang diadakan buat kali ketujuh itu.

Rahsia versi reboot pula membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim. Bersama Ramlah ialah suaminya, Hamdan; dan anak-anak mereka, Marina dan Saiful.

Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.

Cuba pelawa Noorkumalasari

Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik.

Sementara Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan.

Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan 'puaka' tersebut sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu.

Antara barisan pelakon menjayakan Rahsia arahan Shamyl ialah Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Marsha Milan Londoh, Eman Manan dan Nur Qistina Raishah.

Antara pelakon yang menjayakan Rahsia buah tangan Othman pula ialah Shukery Hashim, Noorkumalasari dan Yusof Haslam.

Noorkumalasari

Ditanya mengenai persamaan yang mungkin sengaja diwujudkan dalam kedua-dua filem, Shamyl menjawab, dia hanya menggunakan inspirasi daripada filem asal, manakala yang selebihnya adalah jalan cerita yang berlainan.

“Berapa peratus persamaan susah saya nak ulaskan, tapi apa saya boleh cakap adalah ia dua filem yang mempunyai jalan cerita berbeza.

“Ia tak sama sebab guna latar belakang zaman 2023. Rahsia zaman ini sudah berubah bukan lagi latar seperti tahun 1980-an.

“Saya hanya boleh beritahu, ia satu kisah yang sama cuma dengan plot yang berlainan rumah yang digunakan pada zaman itu kini juga sudah dirobohkan,” katanya.

Mengenai karakter Noorkumalasari sebagai Ramlah untuk dimunculkan semula sebagai cameo, kata Shamyl, dia dan penulis skrip Alfie Palermo pernah cuba mempelawa aktres berkenaan namun gagal.

“Ada watak baru dan ada watak asal yang dah tak ada.

“Kak Noor (Noorkumalasari) minta maaf dia tak dapat sertai kami sebab dia dah tak berlakon lagi,” katanya.