Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesta Seni Haram Kuantan yang perlu dibugarkan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bukan mudah untuk mengusahakan sesuatu yang jarang diambil peduli oleh orang ramai. Ia memerlukan ketekunan dan pengusahanya pula perlu mempunyai mental yang kuat.

Tambahan pula jika apa yang diusahakan itu tidak mendatangkan keuntungan wang ringgit.

Namun kesungguhan mereka yang menjayakan Pesta Seni Haram di lorong belakang Jalan Besar Kuantan harus diberi pujian.

Setiap Sabtu mulai jam 9 pagi, sekumpulan penggiat seni akan mula berkumpul.

Di sana mereka mengadakan pameran lukisan, membaca puisi dan pelbagai aktiviti lain yang melibatkan kesenian.

Terbaru, mereka memulakan satu pertunjukan seni laku di khalayak ramai.

Yang sedikit mengharukan ialah tapak tempat mereka beraksi akan mula disimbah terik matahari seawal jam 10 pagi.

Di bawah panahan cahaya pagi itu mereka dengan penuh kesungguhan akan terus tekun untuk sekurang-kurangnya selama tiga jam lagi.

Molek sebenarnya jika pihak yang berkenaan membina semacam teduhan untuk keselesaan mereka. Sekurang-kurangnya mereka akan berasa dihargai.

Selain pelukis yang beraksi Lorong Seni Kuantan, kumpulan yang mengusahakan Pesta Seni Haram itu juga menghidupkan kawasan sekitar Jalan Besar yang terkenal mempunyai lebih 50 buah kedai kopi ala hipster itu.

Pun begitu, Pesta Seni Haram masih belum mendapat perhatian orang ramai. Mereka yang lalu-lalang di kawasan berkenaan semasa penggiat seni beraksi biasanya akan melihat kelakuan seniman-seniman terbabit sekadar selingan di jalanan.

Tidak mengganggu namun pada masa sama tidak juga mengundang.

Kurang yang mahu benar-benar menghayati persembahan atau sekurang-kurangnya duduk sebentar untuk lebih mengenali kelompok seni tempatan.

Jika dilihat pada sambutan pelanggan yang datang ke kedai kopi berhampiran saban minggu, pesta itu sepatutnya sudah mempunyai peminat sendiri. Namun ia tidak berlaku begitu.

Bukan acara syok sendiri

Seperti yang dinyatakan, hal tersebut terjadi mungkin kerana tapak pesta sedikit panas untuk orang ramai duduk atau berdiri. Mungkin juga seniman yang ada belum mempunyai kemahiran untuk menarik penonton.

Penggiat seni yang terlibat seharusnya menggiatkan lagi promosi acara yang mereka adakan.

Dengan kerjasama semua perniagaan yang ada di kawasan terbabit mungkin kelompok seniman berkenaan boleh berkongsi mengiklankan acara masing-masing dengan meletakkan iklan di semua premis perniagaan berhampiran.

Mereka juga boleh lebih menampilkan diri di media sosial dengan menghebahkan kegiatan di ruang yang ada kaitan dengan bandar Kuantan misalnya.

Pihak Pesta Seni Haram juga dicadangkan supaya berusaha untuk menarik lebih ramai golongan muda agar melibatkan diri dalam acara yang dirancang kerana hari ini ia lebih dilihat sebagai acara pak cik-pak cik.

Pak cik-pak cik itu pula tidak membantu apabila sering dilihat berkumpul dan berbual sesama sendiri saja tanpa menyumbangkan apa-apa kepada para pengunjung.

Persembahkan acara dengan sedikit profesionalisme walau pun ia adalah satu acara yang santai.

Jika tidak Pesta Seni Haram akan dilihat sebagai sebuah acara syok sendiri oleh para seniman yang sudah hampir kepada tarikh luputnya.