Skip to main
Logo Malaysiakini

Tindakan kerajaan, penganjur hentikan persembahan The 1975 dipuji

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tindakan pantas pihak kerajaan dan penganjur dalam menghentikan dan membatalkan persembahan kumpulan muzik United Kingdom The 1975 atas perlakuan biadap semasa mengadakan persembahan di Good Vibes Festival di Sepang semalam, disifatkan sebagai sesuatu yang harus dibanggakan.

Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membatalkan konsert tersebut serta-merta, jelas menunjukkan kerajaan tegas dalam falsafah pembangunan peradaban dan ketamadunan selaras aspirasi Malaysia MADANI.

“Malahan, ia juga menunjukkan penganjur amat peka dengan sebarang perkara yang bertentangan dengan nilai murni budaya negara serta perundangan negara berteraskan identiti Malaysia yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan masyarakat yang menyokong tindakan kerajaan dan penganjur tersebut menerusi bantahan diplomasi juga harus dipuji.

“Syabas kepada penonton konsert tersebut dari kalangan rakyat Malaysia kerana telah berani bersuara mengecam secara terbuka tindakan kumpulan The 1975 yang tidak peka pada peradaban dan ketamadunan negara kita,” katanya

Sementara itu, Pakar Psikologi dan Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia Prof Dr Mariani Mohd Nor berkata beliau amat kesal dengan tindakan beberapa penonton yang menyokong tindakan The 1975 dan seolah-olah cuba menormalisasikan perbuatan tersebut.

“Apabila ada suara-suara sorak dan tepukan penonton, ia seakan-akan perkara tersebut mahu ‘diizinkan’ ketika berlangsungnya konsert terbabit.

“Mereka seakan hilang budaya atau adat ketimuran yang patut diterapkan dalam diri anak-anak bangsa kita dan ini amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan minda mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata tindakan kumpulan muzik itu juga boleh menjatuhkan imej dan moral golongan belia di negara ini kerana kebanyakan anak muda sering menjadikan artis sebagai suri teladan mereka.

“Pihak berkepentingan harus memainkan peranan dalam merangka garis panduan, polisi atau undang-undang supaya dapat mencegah perkara ini sebelum ia menjadi virus dalam negara

“Kerajaan juga perlu mengenakan tindakan sekeras-kerasnya jika perkara seperti ini berulang kembali,” katanya.

Sewaktu persembahan malam tadi, vokalis kumpulan The 1975 Matty Healy dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki hingga esok dibatalkan serta-merta.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

KKD menerusi Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) telah membuat laporan polis terhadap artis berkenaan dan pihak penganjur atas kecuaian serta kegagalan mereka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan jawatankuasa itu.

- Bernama