Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas kontroversi di KL, The 1975 batalkan persembahan di Jakarta, Taipei

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persembahan kumpulan British The 1975 yang dijadualkan berlangsung di Jakarta dan Taiwan bulan ini dilaporkan telah dibatalkan.

Perkembangan itu di tengah kontroversi aksi vokalis Matty Healy di pentas Festival Good Vibes di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada Jumaat lalu, yang menyebabkan konsert itu, yang sepatutnya terus berlangsung pada semalam dan hari ini, dibatalkan.

“Kami tidak pernah mengambil keputusan untuk membatalkan persembahan secara mudah kerana sudah tidak sabar untuk membuat persembahan untuk peminat di Jakarta dan Taipei.

“Tetapi malangnya, disebabkan keadaan semasa, mustahil untuk meneruskan pertunjukan yang dijadualkan.

“Kami dengan sepenuh hati memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul. Live Nation Taiwan dan tixCraft akan mengeluarkan prosedur bayaran balik pada hari Isnin. Terima kasih atas pemahaman dan sokongan berterusan anda,” menurut The 1975 dalam kenyataan rasmi yang dikongsikan di akaun @WeTheFest dan @LiveNationTW.

Pada malam Jumaat lalu, persembahan kumpulan tersebut dihentikan selepas Healy dilihat memperlekehkan undang-undang Malaysia berkenaan LGBT.

Dia antara lain secara marah berkata telah membuat kesilapan kerana tidak membuat semakan berkenaan perkara itu sebelum kumpulannya setuju untuk mengadakan persembahan di Malaysia.

Dia kemudian terus mencium pemain bass The 1975, Ross MacDonald di pentas.

Ketika di pentas, dia turut dilihat minum dari botol yang dipercayai berisi minuman beralkohol serta didakwa meludah dan merosakkan kamera dron pihak penganjur.

Penganjur Festival Good Vibes kemudian berkata pihaknya terpaksa menghentikan persembahan kerana The 1975 tidak mematuhi garis panduan ditetapkan.

Healy kemudiannya kembali ke pentas untuk mengumumkan bahawa kumpulan itu baru sahaja "diharamkan dari Kuala Lumpur".

Semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur, Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil mengarahkan Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki dua hari dibatalkan serta-merta.

Sebanyak tiga laporan polis turut dibuat berhubung persembahan kumpulan tersebut.