Skip to main
Logo Malaysiakini

Galeri Rumah Lat: Masuk percuma hingga September

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dibuka secara percuma kepada pengunjung sehingga awal September ini, Seniman Diraja Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat berharap Galeri Rumah Lat akan menawarkan tiket masuk berpatutan kepada pengunjung.

Lat berkata ini kerana pengunjung yang hadir kebanyakannya orang awam terdiri daripada keluarga dan kanak-kanak yang mahu melihat hasil seninya dan menikmati pemandangan Rumah Bumbung Lima atau Rumah Limas yang mengabadikan sejarah kehidupan beliau sepanjang bergelar kartunis.

“Seronok saya lihat kanak-kanak dan pengunjung setempat serta dari jauh yang datang nak melihat hasil karya saya. Kalau boleh tiket tu nanti biarlah murah, mampu milik untuk mereka ini semua,” katanya kepada Bernama ketika meluangkan masa menyantuni pengunjung ke galeri itu semalam.

Lat berkata biarpun dirinya tidak akan sering berada di galeri itu, namun beliau berkata pengunjung akan sentiasa merasa dirinya berada di situ.

“Jika ada jemputan saya akan datang, galeri ini umpama diri saya, semua sejarah dan pencapaian saya diabadikan di sini, replika rumah lama tempat saya bersama ibu ayah dan lima beradik juga semuanya diabadikan di sini, mereka yang hadir akan merasa kehadiran saya di sini,” kata kartunis tersohor tanah air itu.

Berkongsi keterujaan, Lat berkata pelbagai perancangan telah diatur Lembaga Muzium Negeri Perak di galeri itu antaranya bengkel dan seminar dirinya bersama kartunis terkenal dari seluruh tanah air seperti Ujang, Rossem dan Sireh.

Tinjauan semalam mendapati sebaik galeri itu dibuka pada 10 pagi, telah ramai pengunjung yang tiba untuk melihat dari dekat hasil karya Lat sejak beliau aktif menjadi kartunis seawal tahun 1963.

Di suatu sudut terdapat gambar poster bersaiz besar Lat bergaya di atas sebuah motosikal yang dibeli hasil beliau berkarya sewaktu usianya 17 tahun.

Di sudut lain turut boleh dilihat meja kegemaran yang digunakan oleh Lat melukis karyanya.

Terdapat juga jualan cenderamata seperti kemeja T, rantai kunci, mug dan topi yang mengabadikan kartun beliau menjadi rebutan pengunjung.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak Mohamad Amir Mohd Dahalan ketika dihubungi berkata setakat ini harga tiket ke galeri itu belum lagi ditentukan dan akan diumumkan kemudian.

Katanya sejak dibuka 9 Julai lepas sehingga semalam, lebih 11,000 pengunjung telah mengunjungi galeri itu.

“Pelbagai acara menarik akan diadakan di galeri ini seperti Bengkel Melukis Bersama Datuk Lat dan Program Lat and Friends," katanya.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 8 Julai lepas berkenan merasmikan Galeri Rumah Lat.

Galeri ini beroperasi dari Ahad sehingga Selasa, bermula 10 pagi hingga 4 petang manakala Isnin ditutup. Masuk adalah percuma sehingga awal September ini.

- Bernama