Skip to main
Logo Malaysiakini

Pulau filem Malaysia pertama catat kutipan tertinggi di Kemboja

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun dihimpit pelbagai kontroversi di negara ini, Pulau terbitan WebTVAsia tetap berjaya menjadi naskhah pertama dari Malaysia mencatat kutipan RM700,000 sejak ditayangkan di Kemboja pada 22 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia, Fred Chong, berkata kejayaan itu boleh dianggap membanggakan industri filem tempatan memandangkan naskhah berkenaan mampu menarik perhatian luar biasa penonton di negara tersebut.

“Kami sangat berpuas hati dan gembira kerana populasi Kemboja ada 16.6 juta. Jadi, ia sebuah pencapaian yang agak tinggi.

“Kalau ikutkan, di Vietnam pun sudah mencecah RM800,000 tapi populasi negara itu pula hampir 100 juta,” katanya.

“Kami juga bangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan pembikinan filem tersebut bersama rakan pengedar My Way Pictures dan Filmforce Studio,” katanya.

Tambah Fred, Pulau juga ditayangkan tanpa sebarang babak dipotong di negara itu.

Dia berkongsi perkara itu pada sidang media kejayaan Pulau di Kemboja di ibu pejabat WebTVAsia, di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, filem Pulau berjaya mendapat kutipan sebanyak RM3.4 juta sepanjang tayangan di Malaysia.

Filem itu menampilkan barisan pelakon termasuk Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, dan Pui Yi.

Terdahulu, Pulau mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak selepas klip promosi awal naskhah berkenaan memaparkan beberapa adegan yang disifatkan kurang sesuai untuk ditonton umum.

Malah filem tersebut juga telah disekat untuk ditayangkan di Terengganu.

Fred berkata, Pulau terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Kemboja 2023 tidak lama lagi.

Fred Chong

Kejayaan filem tersebut membuatkan pihaknya merancang untuk menerbitkan sekuel kepada filem berkenaan.

Kata Fred lagi, ia bakal melibatkan sesi uji bakat pelakon di seluruh Asia Tenggara.

“Filem itu tak memfokuskan kepada penonton Malaysia sebaliknya negara luar.

“Kami merancang nak adakan sesi bakat di luar negara dan mungkin penggambaran akan dilakukan di Indonesia kerana di sana terdapat banyak pulau yang cantik,” katanya.

Ditanya sama ada naskhah berkenaan akan memaparkan adegan panas mahupun pelakon berpakaian mencolok mata, Fred menjawab: "Ia bergantung pada skrip yang akan ditulis nanti.”