Skip to main
Logo Malaysiakini

FDAM patut bela maruah industri perfileman

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Salah seorang ahli seumur hidup Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyatakan rasa kesalnya apabila ada pemimpin pertubuhan itu mencampuradukkan pengarah filem dengan televisyen (TV).

Menurut Adman Salleh hala tuju utama persatuan itu sepatutnya membela maruah industri perfileman tetapi apa yang berlaku kemudian adalah sebaliknya.

“Sebenarnya filem dan TV adalah dua perkara yang jauh berbeza. TV tak 'besar' justeru seolah-olah pembaziran jika ia diperhalusi (secara berlebihan).

“Tapi filem adalah sesuatu yang besar, suatu seni yang halus dan diibaratkan seperti sastera, itu sebab Indonesia menggunakan nama sutradara.

“Jadi, kekecewaan saya adalah itu - kerana tak nampak langsung FDAM cuba mengangkat perfileman negara ke arah jalan yang betul,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kekecewaan itu juga pernah membuat Adman hampir meninggalkan persatuan berkenaan.

Bagaimanapun, keluh kesah berkenaan tidaklah bermakna pengarah ferbaik Filem Festival Malaysia (FFM) ke-10 (melalui filem Paloh) dan ke-17 (Bintang Malam) mahu pengarah TV diabaikan.

Cara yang lebih baik dan berkesan, kata Adman, ialah mengasingkan para pengarah filem dan drama TV dalam dua entiti berbeza.

Elak masalah sama berulang

Kegagalan berbuat demikian, tambahnya, hanya akan menampakkan tanggungjawab FDAM itu bagi membela filem tidak terlaksana.

“Mereka mencampurkan pengarah filem dan TV bersekali kerana di negara ini tak ramai pengarah filem," katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung nasib FDAM yang dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Adman, 73, berkata tidak adil untuk dia mengulas lanjut isu tersebut.

Cuma menurutnya dia memasang harapan yang tinggi sekiranya FDAM dihidupkan semula, tiada lagi isu berbangkit dan pihak yang terbabit mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

“Harapan saya, setiap teguran yang diluahkan boleh dijadikan dasar dan supaya isu sama tak berulang semula,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pemangku presiden FDAM, Zulkifli M Osman mengesahkan pendaftaran pertubuhan itu sudah dibatalkan pada 7 Jun lalu namun mereka mengemukakan rayuan.

Pembatalan itu kata Zulkifli adalah disebabkan pelanggaran sebahagian daripada peruntukan perlembagaan terdahulu dan ia diadukan ahli FDAM kepada ROS.

Sementara itu bekas presiden FDAM, Othman Hafsham, pula menyarankan ada persatuan baru dengan barisan pemimpin yang baru juga diwujudkan jika rayuan kepada ROS tidak diterima.

Katanya, langkah tersebut perlu bagi menjamin masa depan industri perfileman negara dan generasi akan datang yang lebih cemerlang.

“Sekiranya permohonan (rayuan) tersebut gagal, saya cadangkan agar kita tidak bertangguh lagi untuk membuat persatuan baru dan pastikan mereka mengikut perlembagaan,” katanya.

Pengarah Terbaik FFM ke-4 melalui filem Mekanik itu berkata biarlah calon yang benar-benar prihatin terhadap industri dipilih untuk mengemudi persatuan berkenaan.

“Nasihat saya ialah, orang yang memimpin itu harus lebih peka dengan situasi dan perkembangan sektor perfileman," katanya.

Pengarah filem dan TV, Nasir Jani, pula mempersoalkan dakwaan berhubung tindakan ahli persatuan itu membuat aduan kepada ROS.

“Jika betul naratif itu, apa tujuannya?” katanya.

Nasir juga bersetuju agar suatu persatuan baru diwujudkan segera jika benar FDAM tidak lagi wujud selepas pendaftarannya dibatalkan pihak berkuasa.

“Bila (FDAM) dah tak wujud kita kena wujudkan persatuan baru, tapi saya lebih senada dengan Zulkifli iaitu tunggu dulu keputusan ROS berhubung rayuan yang dibuat,” katanya.