Skip to main
Logo Malaysiakini

Setiausaha politik menteri lapor kenyataan Papagomo ke polis

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengesahkan pihaknya membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Sir Azri susulan kenyataan fitnah berkaitan Festival Good Vibes.

Laporan itu dibuat Abdullah Izhar Mohamed Yusof pada jam 11.12 pagi tadi di Balai Polis Pantai.

Ia membabitkan satu video berdurasi 3.24 saat di Facebook Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang didakwa memfitnah dan memburukkan kerajaan dengan menyatakan insiden The 1975 itu dirancang oleh kerajaan.

Abdullah Izhar dalam kenyataan hari ini berkata laporan itu dibuat bagi memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat akaun Facebook Sir Azri serta lelaki yang memfitnah kerajaan dalam video itu.

“Saya juga memohon pihak PDRM menyiasat semua platform media sosial milik Sir Azri untuk memastikan tiada sebarang fitnah dan berita palsu disebarkan kepada rakyat Malaysia.

"Perbuatan tersebut hanya akan menggugat keamanan serta keharmonian kaum dan agama,” katanya.

Dalam video itu, terdapat perbualan di antara pemilik akaun Facebook berkenaan dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya bekas kru penganjur konsert terbabit.

Kenyataan itu turut memaklumkan pihak Cawangan Khas PDRM telah mendapatkan keterangan pengadu dan laporan itu dibuat bagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan fitnah yang dilakukan oleh individu terbabit.

Pengadu dilaporkan melihat hantaran Facebook berkenaan pada pukul 5.51 petang di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, semalam.

Mengulas mengenai insiden membabitkan kumpulan The 1975 itu, dia beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah serta-merta dengan membatalkan festival berkenaan namun isu itu dimanipulasi serta dijadikan platform oleh segelintir pihak yang bermotifkan politik demi menjatuhkan pihak kerajaan.

“Justeru pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook dikenali Sir Azri atau Papagomo agar ia tidak dijadikan ikutan kepada pihak lain dalam memfitnah kerajaan,” katanya.

- Bernama