Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Membunuh mitos seniman mesti hidup susah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN SENI |  "Masih ingat pada James Taylor, Jackson Brown? Mereka bermula sebagai pemuzik indie yang miskin dan tak cukup makan, penghibur jalanan, dan kemudian apabila mereka menandatangani perjanjian dengan syarikat rakaman, lagu mereka sudah tidak begitu menarik lagi.

"Makanya anda memerlukan artis yang kelaparan untuk menghasilkan karya yang baik,” demikian kurang lebih kata-kata seorang pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu rancangan temu bual radio baru-baru ini.

Istilah artis kelaparan yang membawa kefahaman bahawa seorang seniman perlu hidup susah, miskin dan tak cukup makan bagi menghasilkan karya seni hebat sebenarnya adalah mitos yang dimulakan oleh seorang lelaki Perancis.

Pada 1843, ada seorang penyair dan novelis bernama Louis Henri Murger yang membuat keputusan untuk menghabiskan masanya dengan sekumpulan artis bohemian di pinggir kota Paris.

Murger kemudian perlahan-lahan mengumpulkan perkataan dan menuliskan pengalaman dari apa yang dilihatnya hingga terlahir sebuah cerpen berjudul Scenes of Bohemian Life.

Tidak berapa lama selepas itu, muncul seorang penulis drama pentas muda yang laparkan perhatian dan kejayaan datang mendekati Murger. Sebelum itu dia terbaca cerpen Murger tanpa sengaja.

Setelah bertemu dan mengadakan perbincangan, mereka berdua akhirnya menghasilkan sebuah drama pentas muzikal berkenaan seniman kelaparan berjudul La Vie De La Bohème.

Harus buang kepercayaan

Drama adaptasi dari cerpen Murger itu ternyata menerima sambutan luar dugaan. Ia sekali gus menjadikan Scenes of Bohemian Life Murger terjual dengan amat laris di pasaran.

Ternyata Murger yang menciptakan perkataan "artis kelaparan" itu sendiri adalah seorang artis sohor kini, seniman tular dan penulis yang terlebih makan.

Dia berjaya mendapat perhatian dunia dengan menjual idea kemiskinan yang diromantiskannya dan kemudiannya berkembang menjadi mitos yang dipercayai ramai orang.

Dari situ dogma seniman harus miskin dan kelaparan untuk menghasilkan mahakarya - yang tidak berkehendakkan wang atau apa-apa keuntungan materi - pun disebarkan.

Idea “art for art's sake” kemudian muncul, diguna dan diulang-ulang oleh ramai pengarang dalam banyak penulisan. Ia malah diangkat sebagai ideologi dalam banyak karya sastera pada sekitar penghujung 1800-an sehingga awal 1900-an.

Ia kemudian akhirnya menjadi suatu budaya dan gaya hidup yang hingga ke hari ini menyulitkan.

Ketimbang hanya bertaklid buta dengan mitos, penulisan ini ingin mengajak anda melihat kaitan permasalahan ini menurut logos.

Jika mitos adalah proses fikir yang berdasarkan mistik dan andaian, logos yang berpegang pada logik hasil dari pengamatan lapangan diharap dapat menjelaskan mengapa kita harus membuang kepercayaan bahawa seniman perlu miskin untuk menghasilkan karya seni yang hebat.

Menurut logos yang mahu disarankan dalam tulisan ini, seniman akan dapat menghasilkan lebih banyak mahakarya seandainya mereka dijaga, dibiaya dan dibebaskan daripada kemiskinan.

Dalam erti kata lain, seorang artis yang diletakkan dalam industri yang bersistem, berstruktur dan sihat dengan dasar pekerjaan lebih profesional pasti akan melahirkan lebih ramai seniman yang produktif lagi pintar.

Sebetulnya situasi seni zaman ini sangat membimbangkan. Bukan kerana semata-mata seni tidak dianggap penting atau wujudnya ancaman kecerdasan buatan (AI), tetapi kerana ia sering dipinggirkan.

Anggap sekadar hukuman takdir

Kesenjangan jaminan kerja dan kelestarian ekonomi industri seni - baik filem, muzik, penulisan, lakonan dan tarian mahupun seni halus atau seni visual - semuanya sangat berjurang jika dibandingkan dengan bidang lain yang nampaknya lebih gemar diselamatkan negara ini.

Pekerjaan seni pada zaman ini hanyalah hobi buat anak orang kaya-kaya menunjukkan bakat. Manakala sesetengah yang lain akan diisi oleh arkitek dan aktuaris yang tertekan lalu menjadikan seni sebagai tempat meluahkan perasaan.

Maka tidak hairan kalau kita melihat ada terlalu ramai pelakon yang tidak reti berlakon, atau ramainya penyanyi yang tidak begitu pandai menyanyi.

Hari ini sesiapa saja boleh menjadi penulis lakon layar atau mengarah filem asal saja mereka mempunyai wang untuk mendanai karya sendiri.

Biarpun situasi sebegini nampak remeh namun ia sangat memberikan kesan buruk terhadap seni negara dan menyekatnya daripada melonjak lebih jauh dan bersaingan dengan negara lain.

Tidak pernah ada apa-apa tindakan yang mahu kerajaan lakukan walau ada ramai lulusan teater yang akhirnya berkerja sebagai pembantu kedai.

Kalau kita mendengar ada graduan fakulti filem dan penulisan yang menjual gincu dan bedak, atau ada sarjana fakulti muzik bermain gitar di simpang empat jalan Bukit Bintang, semua itu dianggap takdir untuk mereka agar berusaha lebih kuat bagi menghasilkan kerja seni yang lebih hebat.

Mitos itulah yang patut kita matikan dan tanam jauh-jauh ke dalam bumi. Hal itu kerana menurut logos sudah pun ada seorang seniman agung yang banyak menghasilkan adikarya apabila ada struktur yang tersusun, sistem pengurusan yang berkesan dan kebajikan yang terjamin seperti yang dapat kita lihat dalam sektor pekerjaan lain.

Seniman agung P Ramlee adalah model mudah yang boleh kita jadikan contoh.

Cara studio Shaw Brothers menjaga dan melayan P Ramlee membuktikan bahawa kepercayaan seorang seniman perlu hidup susah, miskin dan tak cukup makan bagi menghasilkan sebuah adikarya hanyalah mitos dan fakta palsu.


HARIS HAUZAH ialah seorang artis yang gajinya dibayar tuhan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.