Skip to main
Logo Malaysiakini

Alif anggap tawaran beraksi di DFP berkat doa di Tanah Suci

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi Alif Satar menyifatkan berkat doa ketika di Tanah Suci baru-baru ini, dia dan anggota bandnya, The Locos, menerima tawaran buat julung kali untuk mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Kata Alif, jemputan itu adalah bersempena sambutan ulang tahun jubli perak dewan berprestij berkenaan dan akan berlangsung pada 26 Ogos ini.

“Saya terima panggilan telefon daripada pengurus sewaktu mengerjakan haji dan beritahu berita gembira mengenai tawaran daripada DFP.

“Saya kata: wow... sebab panggilan macam ini, hanya penyanyi-penyanyi seperti Siti Nurhaliza saja akan dapat.

"Kalau di AS ada Walk Of Fame, DFP pula ibarat satu pengiktirafan buat penghibur tempatan," katanya.

Menurut Alif lagi sepanjang terlibat sebagai anak seni sejak 2006, memang dia tidak mengharapkan sebarang anugerah namun jauh di lubuk hati ada impian mahu mengadakan persembahan di DFP.

Tambah manis, kata Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, permintaannya agar persembahan mereka diiringi oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) turut mendapat persetujuan daripada DFP.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka terlebih dulu menunggu sehingga tujuh hari sebelum dimaklumkan permintaan tersebut diluluskan.

“Ada syarat kami berikan sebelum bersetuju buat persembahan di DFP iaitu kami mahu band Alif Satar & The Locos turut diiringi MPO.

“Jadi, seminggu jugalah kami kena tunggu jawapan, ingatkan dalam tempoh tu dah tak ada peluang nak buat persembahan lagi.

“Akhirnya kami berjaya dan ini adalah keberkatan doa di sana (Mekah),” katanya pada majlis pengumuman Alif Satar & The Locos With The MPO di DFP, KLCC semalam.

Ahmad Muriz (kanan) bersama Alif, Tam Cobin dan Faliq Auri

Konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos With MPO akan dikendalikan oleh pengarah muzik Ahmad Muriz Che Rose.

Selain Alif anggota lain akan turut menjayakan persembahan itu ialah gitaris, Tam Cobain; Efry Arwis (basis); Rajwan Juni (dram), dan Faliq Auri (saksofon).

Mereka akan diiringi kira-kira 60 ahli MPO.

Ahmad Muriz turut bertanggungjawab untuk menggubah susunan muzik Anugerah Terindah dinyanyikan Alif Satar & The Locos. Lagu berkenaan menduduki tangga ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-37 yang berlangsung Feb lalu.

Mengulas perkara itu, secara berseloroh Alif, 32, berkata dia tidak menjangka kolaborasi berkenaan boleh diibaratkan seperti sesi uji bakat sebelum mereka kemudian dirisik untuk membuat persembahan di DFP.

“Tak sangka AJL tu audition kami,” ujarnya sambil tertawa.

Untuk rekod, Alif Satar & The Locos yang ditubuhkan pada 2018 sudah membuat pelbagai persembahan di dalam dan luar negara, termasuk Singapura dan United Kingdom.

Alif berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji bersama isterinya, Shadila Halid, pada 21 Jun lalu.