Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganjur pertahan jemput The 1975 tapi kecam aksi bercium

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penganjur Good Vibes Festival hari ini mempertahankan keputusan mereka menjemput kumpulan pop rock The 1975, tetapi mengecam tingkah laku tidak senonoh vokalis kumpulan itu di atas pentas.

Pengarah hiburan di agensi acara Future Sound Asia (FSA), Wan Alman Ariffin berkata, mereka menjemput kumpulan itu kerana ia mempunyai bilangan peminat yang cukup besar di negara ini.

Katanya, walaupun The 1975 pernah mencipta kontroversi ketika membuat persembahan di negara lain, namun FSA telah menerima jaminan daripada pengurusan kumpulan muzik itu bahawa mereka akan mematuhi semua peraturan semasa membuat persembahan dalam festival itu.

"Saya fikir mudah untuk mengatakan selepas hal itu berlaku bahawa mereka bermasalah. Tetapi apabila kami mula-mula mengumumkan The 1975 menyertai GVF, peminat teruja.

"Ya, mereka terbabit insiden di Dubai empat tahun lalu, tetapi mereka telah membuat banyak persembahan sejak itu tanpa sebarang insiden," kata Wan Alman.

Dia merujuk kepada insiden pada 2019 apabila Matty Healy melanggar undang-undang anti-homoseksual Emiriah Arab Bersatu dengan mencium penonton semasa persembahannya di Dubai. Aksi itu menyebabkan Dubai mengharamkan kumpulan berkenaan.

Wan Alman berkata semenjak itu The 1975 juga telah membuat banyak persembahan lain tanpa sebarang insiden.

"Adakah kita nak mengambil jalan seperti itu di mana kita pantas mengharamkan artis untuk sesuatu yang mereka lakukan di negara lain beberapa tahun lalu?

"Kerana jika kita mengambil jalan seperti itu, maka ramai artis tidak akan dapat membuat persembahan," katanya, ketika diasak pertanyaan mengenai insiden baru melibatkan The 1975 dan mengapa FSA merayu pihak berkuasa Malaysia untuk membawa The 1975 setelah permohonan pertama mereka ditolak.

Wan Alman berkata penganjur telah melakukan yang terbaik untuk mengelakkan kejadian seperti itu, dan apa yang berlaku adalah "semata-mata kesalahan Matty dan The 1975".

‘Tapisan lebih sukar sekarang’

Pengerusi Live Festival and Events Association (Alife), Para Rajagopal mengakui bahawa pemain industri perlu menambah baik proses saringan mereka.

Tetapi, katanya, ia juga menjadi lebih sukar bagi penganjur acara untuk membuat saringan artis yang ingin dibawa masuk ke negara ini.

Menurut Para, negara ini dahulu mempunyai garis panduan yang jelas mengenai apa yang dianggap boleh diterima untuk persembahan di Malaysia, terutamanya dengan peraturan khusus membabitkan pakaian penghibur.

“Sebelum ini, kebanyakan isu sangat jelas mengenai garis panduan tertentu yang Malaysia tidak boleh terima, seksi dan bukan seksi.

"Garis panduan menjadi bertambah, dan ia sedikit sukar bagi kami untuk menyaring apa yang betul dan apa yang salah," kata Para.

Insiden terpencil dalam 10 tahun penganjuran GVF

Sementara itu, pengasas FSA, Ben Law memberitahu sidang akhbar itu bahawa FSA tidak menerima atau membenarkan apa yang dilakukan oleh kumpulan itu di atas pentas.

Dia berkata Matty Healy telah melanggar garis panduan persembahan tempatan dan melanggar undang-undang dan peraturan Malaysia, tetapi menegaskan bahawa ia adalah insiden terpencil dan tidak dijangka.

"Kami tidak menerima atau membenarkan kelakuan sedemikian, dan kelakuan Matty Healy wajar dikecam. Penampilannya telah meninggalkan kesan kepada rakyat Malaysia. Insiden ini adalah terpencil dan tidak dijangka, dan bertentangan dengan perjanjian yang kami buat dengan kumpulan itu.

“Dalam sejarah 10 tahun GVF, kami tidak pernah berdepan kejadian sebegitu kerana kami sentiasa berpegang kepada dasar ketat mematuhi garis panduan persembahan tempatan yang merangkumi larangan merokok, tidak minum alkohol, tidak mencarut dan tidak melakukan perbuatan tidak senonoh di atas pentas, " katanya.

Menurut Law, penganjur juga telah menerima surat bertulis daripada pengurusan The 1975 yang berjanji mereka akan mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan.

"Kami percaya komitmen kumpulan itu, terutamanya memandangkan persembahan mereka yang telah berjaya dan patuh pada Festival Good Vibes 2016.

“Apabila insiden itu berlaku, kami bertindak sepantas mungkin untuk membendungnya," katanya.