Skip to main
Logo Malaysiakini

Kevin Spacey bebas dari semua tuduhan serangan seksual

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemenang dua Anugerah Oscar, Kevin Spacey, dibebaskan daripada semua tuduhan serangan seksual yang dikenakan terhadapnya oleh mahkamah di London.

Juri di Mahkamah Southwark Crown mendapati Spacey tidak bersalah atas sembilan pertuduhan serangan seksual terhadap empat lelaki antara 2001 dan 2013.

Menerima baik keputusan tersebut, pelakon terbabit berkata, dia berterima kasih kepada juri atas pertimbangan mereka yang mengambil tempoh lebih 12 jam sepanjang tiga hari.

Menariknya Spacey juga dibebaskan pada hari dia menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-64.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada pemberita di luar mahkamah sejurus selepas keputusan itu dibacakan, Spacey berkata dia berasa amat terharu.

“Saya bayangkan bahawa ramai di antara kamu boleh memahami ada banyak perkara yang perlu saya proses selepas apa yang baru berlaku hari ini.

“Tapi saya ingin menyatakan saya amat berterima kasih kepada juri kerana meluangkan masa untuk meneliti kesemua bukti dan fakta dengan teliti sebelum mencapai keputusan.

“Dan saya berasa amat terharu dengan keputusan ini,” katanya dipetik CNN.

Untuk rekod, Spacey dianugerahkan Oscar melalui lakonnya dalam filem American Beauty (Pelakon Lelaki Terbaik) dan The Usual Suspects (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik).

Selain itu, dia juga pernah membintangi beberapa lagi filem pecah panggung seperti LA Confidential, 21, Horrible Bosses, Baby Driver dan siri hit Netflix, House of Cards.

Aktor itu sempat menjayakan lima musim siri Netflix berkenaan sebelum dipecat pada 2017 atas dakwaan salah laku di dalam dan luar set.

Pelakon kelahiran New Jersey itu berdepan tujuh pertuduhan serangan seksual, satu pertuduhan menyebabkan seseorang melakukan aktiviti seksual tanpa persetujuan dan satu pertuduhan menyebabkan seseorang melakukan aktiviti seksual penembusan tanpa persetujuan.

Tahun lalu, mahkamah di New York turut membebaskan Spacey daripada saman AS$40 juta (RM181 juta) oleh pelakon Anthony Rapp atas tuduhan yang didakwa berlaku 30 tahun lepas.