Skip to main
Logo Malaysiakini

Sumpahan Jerunei gondol 6 trofi di Itali, Perancis

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Filem Sumpahan Jerunei berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila menggenggam lima trofi di Florence Film Awards, Itali, dan satu lagi di Paris Film Awards, Perancis.

Penerbit bersama filem itu, Wendy Wong, berkata dia dan rakan kongsinya, Nancie Foo bersyukur buah tangan Jason Chong berkenaan mendapat pengiktirafan di peringkat global selepas berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Memang menjadi hasrat kami membawa filem Sumpahan Jerunei yang mengangkat kisah adat dan budaya unik kaum Melanau di Sarawak ke peringkat global dengan menghantar penyertaan ke tujuh festival antarabangsa.

“Alhamdulillah usaha kami berhasil apabila Sumpahan Jerunei mendapat lima anugerah di Florence Film Awards yang berlangsung di Tuscany, Itali dan satu lagi anugerah di Paris Film Awards, Perancis,” katanya dalam kenyataan.

Filem bergenre seram, budaya dan fiksyen itu baru saja ditayangkan di pawagam tempatan bermula semalam dan diterbitkan syarikat Produksi Seni 2020 Sdn Bhd.

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah.

Mengenai anugerah itu, kata Wendy, Sumpahan Jerunei diumumkan memenangi kategori filem cereka terbaik, pengarah terbaik (Jason Chong), sinematografi terbaik (Haris Hue Abdullah), skor muzik asal terbaik (Sharon Paul) dan penerbit terbaik (Wendy Wong dan Nancie Foo).

“Satu lagi anugerah ialah kategori Filem Cereka Terbaik Paris Film Awards pada Mac lalu,” katanya.

Tambah Wendy, Sumpahan Jerunei juga terpilih untuk tayangan perdana sempena Julien Dubuque International Film Festival di AS pada Mei lalu.

Katanya Sumpahan Jerunei versi belum siap final cut selama 115 minit juga terpilih untuk tayangan pada Festival Filem Busan di Korea.

“Lebih memberangsangkan, Sumpahan Jerunei ditayangkan sempena malam pembukaan Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini,” katanya.

Tinggal kerja separuh jalan

Ditanya mengapa merahsiakan berita gembira itu, kata Wendy, dia hanya menguar-uarkan kemenangan berkenaan selepas filem tersebut ditayangkan dengan membuktikan kelebihan dari segi aspek sinematografi dan pengarahan yang bagus.

“Kami mahu membuktikan kepada pengarah kesan khas imej janaan komputer (CGI) dari Hollywood yang pernah melakukan kerja separuh jalan dengan kami.

“Katanya sebelum ini, kami tidak setanding dengan karya lain dari aspek CGI,” jelas Wendy.

Mengulas lanjut isu berkenaan, kata Wendy, pihaknya sedih dan kecewa kerana filem itu ‘dirosakkan’ oleh pengarah terbabit.

Menurutnya, mereka sudah mengeluarkan perutukan besar mencecah ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan khidmat pengarah yang pernah memberi sentuhan kepada filem hebat seperti Harry Potter dan Spiderman itu.

“Secara tiba-tiba pengarah CGI yang buat reka bentuk untuk filem ini tinggalkan kerja separuh jalan dengan alasan dia tak boleh bekerja dengan pengarah filem.

“Pengarah CGI itu dakwa mampu buat filem Sumpahan Jerunei menang besar, asalkan nama pengarah Jason Chong dibuang daripada filem ini,” katanya.

Namun, kata Wendy, dia dan Nancie tidak bersetuju dengan permintaan itu.

“Pengarah CGI itu terus meninggalkan kerja separuh jalan hingga kami terpaksa mendapatkan khidmat kesan khas dan 3D dari kalangan orang tempatan untuk menyambung kerjanya yang tak siap,” katanya.