Skip to main
Logo Malaysiakini

Michelle Yeoh kahwini Jean Todt lepas kenal 19 tahun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Michelle Yeoh selamat bergelar isteri kepada bekas ketua pegawai eksekutif Ferrari, Jean Todt.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup di Geneva, Switzerland semalam.

Berita gembira itu dikongsi salah seorang tetamu majlis iaitu pelumba Formula One, Felipe Massa.

“Selamat berkahwin Jean Todt dan Michelle Yeoh. Saya sayang kamu,” tulisnya di Instagram.

Michelle, 60, berkenalan dengan Jean pada Jun 2004 di Shanghai, China, dan sejak itu hubungan mereka sejak itu sering mendapat perhatian umum.

Mengiringi perkongsian itu Massa turut memuat naik kad jemputan perkahwinan yang tertera tarikh dan tempat majlis dilangsungkan.

“Kami bertemu di Shanghai pada 4 Jun 2004. Pada 26 Julai 2004, JT (Jean Todt) melamar MY (Michelle Yeoh) dan dia bersetuju.

“Hari ini (semalam) selepas 6,992 hari, pada 27 Julai di Geneva dengan dikelilingi keluarga dan rakan, kami gembira menyambut momen indah ini,” tulisnya pada kad itu.

Michelle melakar sejarah apabila menjadi pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Oscar ke-95 melalui filem Everything Everywhere All at Once pada Mac lalu.