Skip to main
Logo Malaysiakini

Fizz Fairuz: Tak sampai 10 babak pun pakai menyerupai wanita

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon yang sudah menjadi pengarah Fizz Fairuz menegaskan filem Mat Tudung Begins hasil tangannya memaparkan tidak sampai 10 babak pun dia berpakaian menyerupai wanita.

Bahkan Fizz berkata, nawaitu dia memaparkan golongan lelaki memakai tudung bukan kerana ingin menggalakkan contoh tidak baik sebaliknya mengetengahkan "nasihat" melalui sebuah cerita.

“Ia bergantung kepada niat, sekiranya saya mahu memondan, begitulah jadinya tapi kalau penyamaran, maka penyamaranlah akhirnya.

“Saya bukan nak mengajar buat benda jahat, tapi cara selesaikan masalah supaya masyarakat tahu ini hanyalah sebuah cerita.

“Kita nak ketengahkan ini penyamaran yang mempunyai unsur nasihat,” katanya.

Fizz Fairuz, 43, menjelaskan dia terlebih dulu merujuk pihak-pihak tertentu dan membuat kajian berkaitan keagamaan sebelum meneruskan hasratnya untuk mengarah Mat Tudung Begins.

“Saya maklum batas Lembaga Penapisan Filem (LPF) macam mana. Jadi sebelum buat cerita ini saya berbincang dengan mereka mengenai undang-undang LPF sama ada boleh atau tak boleh kerana kita cuba selesaikan sebelum timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

Terdahulu, selain poster filem itu mengundang perhatian ramai, seorang pendakwah bebas turut memberikan teguran terhadap Fizz Fairuz kerana berlakon sebagai lelaki yang berpakaian menyerupai wanita kerana ia dilarang agama.

Filem itu dijadual ditayangkan di pawagam tempatan bermula 3 Ogos ini.

Tak angan-angan tinggi

Mengulas kritikan tersebut, pemilik nama penuh Mohd Fairuz Zainal Abidin itu berkata, dia menerima apa saja yang dilemparkan masyarakat terhadapnya.

“Penceramah itu memberi pandangan dari sudut agama. Apa saja orang luar cakap, saya terima.

“Saya tak balas dengan cara tak baik. Saya bukan bertudung atau memondan hari-hari,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mengulas harapannya untuk filem itu diterima ramai, Fizz Fairuz berkata, angan-angannya tidak terlalu tinggi tetapi bersedia apa saja kemungkinan mengenai buah tangan sulungnya itu.

Dia berharap, segala perih jerihnya selama sembilan tahun bagi mencari dana untuk menerbitkan filem itu berbaloi.

“Selama sembilan tahun saya pendam perasaan. Sebabnya susah nak mengeyakan orang lain mengenai filem pertama macam ini. Saya pelakon bukan pernah mengarah.

“Saya bukan pasang angan-angan kutipan cecah sampai RM100 juta, tapi cukuplah jika dapat waima RM10 juta saja.

“Syukur ada insan yang nampak kebolehan saya mengarah filem. Tanpa pertolongan dia, saya mungkin kena tunggu lagi 15 tahun untuk dapat sumber biaya,” katanya.