Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganjur konsert Muse jawab isu peminat pitam, rasa kena 'scam'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penganjur konsert Muse: Will Of The People Tour berjanji untuk menyiasat lebih lanjut isu peminat pitam akibat terpaksa menunggu terlalu lama sebelum band rock popular England itu beraksi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hello Universe Malaysia, Adam Ashraf, berkata pihak penganjuran masih menunggu hasil pascanilai (post mortem) yang dijangka diperoleh selewat-lewatnya esok.

“Saya tak berada di tempat kejadian sebab tiba-tiba diserang kebimbangan (anxiety) dan berada di bilik kecemasan sepanjang konsert berlangsung.

“Justeru saya tak boleh ulas lebih lanjut memandangkan post mortem juga belum dibuat. Tapi, saya janji akan dapatkan butiran lanjut secepat mungkin.

“Saya difahamkan ada dua atau tiga orang peminat pengsan dan terus dibawa keluar oleh ambulans yang disediakan pihak kami.

"Memang setiap konsert meletakkan syarat wajib untuk menyediakan perubatan sebagai antara langkah keselamatan.

“Selain itu, Hello Universe turut menyediakan perkhidmatan air dan makanan bergerak ke setiap zon. Kemudahan itu juga boleh diakses di setiap level,” katanya kepada Malaysiakini.

Adam Ashraf

Namun Adam tidak menolak kemungkinan peminat yang pitam disebabkan kelelahan yang antaranya berpunca daripada keengganan mereka untuk ‘melepaskan’ tempat yang sudah mereka perolehi.

Katanya pintu masuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil itu dibuka seawal jam 4 petang.

"Mungkin peminat bimbang, jika mereka keluar dari zon B untuk beli air atau makanan, mereka boleh hilang ‘spot cantik’ apatah lagi di kawasan itu berhimpit-himpit.

“Mereka juga mungkin tak perasan ada perkhidmatan jualan air dan makanan yang bergerak dari zon ke zon,” katanya.

Adam berkata demikian sebagai mengulas beberapa isu yang timbul pada konsert Muse yang dianggotai oleh Matt Bellamy (vokalis), Chris Wolstenholme (basis) dan Dominic Howard (dram) pada 29 Julai lalu.

Sudah letakkan yang terbaik

Sebelum itu, Hello Universe memaklumkan punca kelewatan band itu lebih sejam untuk memulakan persembahan adalah disebabkan faktor keselamatan.

Pihak penganjur berkata, turut berlaku isu kecil di bahagian penghadang di zon C.

Dalam reaksinya kepada Malaysiakini juga Adam menafikan kelewatan persembahan Muse adalah berpunca daripada pihak penganjur menunggu kedatangan orang kenamaan (VIP).

Terdahulu, portal ini menyiarkan segelintir peminat meluahkan kekecewaan berikutan mereka ‘disidai’ terlalu lama sebelum dapat menikmati persembahan dari band berkenaan.

Ada pula yang mendakwa, sekurang-kurangnya empat penonton pitam atas isu kelewatan selain penganjur tidak mempunyai empati kerana membiarkan peminat tanpa air.

Tambah mengecewakan peminat, selain ‘disidai’ tiada sebarang pengumuman dibuat oleh pihak penganjur bagi menjelaskan isu kelewatan berkenaan.

Pembeli tiket terpaling mahal yang berada di kedudukan zon D pula menyifatkan mereka ibarat kena scam (diperdaya) apabila sudut pandang mereka amat terhad berikutan lokasinya yang jauh serta terhalang oleh reka bentuk pentas dan peralatan bunyi.

Selebihnya pula terkilan berikutan persembahan Muse pada malam itu dianggap terlalu singkat.

Menjawab setiap aduan itu, Adam berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat sisi titik buta (blind spot) namun mereka sudah mengambil keputusan dirasakan terbaik untuk pembeli tiket mengikut pada kadar harga yang dibeli.

“Kami dah letak kedudukan semua pembeli tiket pada tempat yang terbaik.

"Untuk zon D, jika kedudukan itu ‘ditarik’ lagi ke belakang iaitu ke sebelah tiket VIP ia akan menyebabkan penonton lebih jauh dari pentas. Pada masa sama, ini tak adil untuk pembeli tiket VIP.

“Jadi satu keputusan terpaksa diambil bagi menyelesaikan masalah titik buta berkenaan. Namun, kami sedar, walau apa pun keputusan yang dibuat, risikonya ialah tetap ada pihak yang mengeluh.

"Jadi, kami minta maaf pada sesiapa yang pandangannya terhalang,” katanya.

Mengenai pemilihan lagu atau tempoh persembahan yang dikatakan sekejap dan pengumuman berkaitan isu kelewatan, Adam berkata, hal itu bukan tertakluk di bawah bidang kuasa Hello Universe untuk menentukan.

Katanya sebagai penganjur mereka tiada kuasa nak menentukan persembahan yang ditetapkan oleh band terbabit.

"Mereka (Muse) adalah penghibur kelas A, siapalah kami untuk mengubah pendirian pihak pengurusan artis berkenaan.

“Saya agak terkejut kerana timbul rungutan sebegini sebabnya kebiasaannya adalah normal untuk Muse adakan persembahan selama 90 minit walaupun di mana-mana lokasi lain.

“Kami hanya boleh cadangkan untuk bawa lagu hit. Pada hari konsert berlangsung, durasi persembahan Muse adalah 100 minit dan acara itu habis tepat jam 11 malam.

“Berkaitan tiada pengumuman, penyerahan pentas telah dilakukan sehari sebelum konsert berlangsung, jadi, kami tak ada kuasa nak umumkan apa-apa sebab jika pengurusan tempatan campur tangan, bimbang risiko akan mengganggu tetapan konsert,” katanya