Skip to main
Logo Malaysiakini

Maryam Durian Kimchi teruja ibu dalami Islam, enggan paksa lafaz syahadat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Personaliti media sosial yang sudah bergelar pelakon, Maryam Durian Kimchi berkata dia tidak pernah memaksa ibunya untuk menukar kepercayaan kepada agama Islam.

Walaupun belum melafazkan kalimah syahadat, Maryam memberitahu, dia terharu apabila melihat ibunya itu semakin tekun mendalami Islam malah memuji usaha wanita itu untuk menutup aurat.

“Agak sukar untuk saya jelaskan, saya tak pernah paksa. Tapi ibu rela hati belajar berkaitan Islam, tapi setakat ini, dia belum belajar ucap syahadat.

“Mungkin ibu terdetik untuk mempelajari Islam selepas melihat saya mula memakai tudung. Dia juga cuba belajar untuk pakai hijab.

“Dia juga pakai pakaian yang lebih menutup aurat daripada saya serta berhenti makan daging khinzir,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar You Nare itu, perubahan dilakukan ibunya bermula selepas melakukan kunjungan ke Malaysia baru-baru ini.

Kata wanita berasal dari Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan itu, ibunya meminta untuk dibawa ke masjid.

“Dia pernah minta saya ajar cara solat. Saya pun tak sangka dia nak bawa balik telekung ke Korea Selatan,” katanya.

Doakan perkara baik

Maryam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem sulungnya Mat Tudung Begins di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem prekuel kepada Mat Tudung itu bakal menjengah layar perak 3 Ogos ini.

Maryam memeluk Islam sebelum berkahwin dengan Ryzal yang juga pempengaruh dari Malaysia beberapa tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata bernama Rina yang kini berusia dua tahun.

Maryam, 31, juga menyatakan perasaan terharu apabila perkongsian mengenai ibunya mengundang reaksi positif pengguna alam maya.

“Apabila ramai yang berikan komen positif, saya dapat melihat betapa sayangnya Allah pada kita.

“Allah mungkin nak tunjuk sebenarnya ramai yang sayang sesama manusia walaupun berbeza-beza agama.

Ramai kecam

“Lebih bagus adalah mereka yang turut mendoakan perkara baik-baik selain tidak memaksa,” katanya.

Maryam menjelaskan situasi itu memang pernah dilaluinya.

Menurutnya lagi, apabila dia tampil tanpa tudung sewaktu bersiaran secara langsung di media sosial, ramai yang mengecam.

“Sebelum saya bertudung ramai kecam. Saya fikir, perbuatan itu tak bagus di mata pandangan seseorang yang bukan Muslim.

“Orang bukan Muslim akan menilai Islam ini teruk sebab orang yang menganuti agama itu sendiri menimbulkan pelbagai persepsi negatif,” katanya.