Skip to main
Logo Malaysiakini

Peminat 'terasa' David Teo nasihat Masya Masyitah tentang tudung

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Teguran penerbit terkenal, David Teo kepada penyanyi Masya Masyitah susulan keputusannya mengubah penampilan daripada bertudung kepada mempamerkan rambut berwarna merah jambu mengundang perhatian pengguna alam maya.

Ia disebabkan teguran itu datangnya daripada seseorang yang bukan Muslim kepada seorang Muslim.

“Bukan Muslim menegur yang Muslim. Malunya, ya Allah. Semoga kita sempat bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

“Makin ramai yang bertudung dah jadi free hair. Allahu… semoga kita semua sempat bertaubat,” tulis seorang netizen di ruang komen posting dimuat naik David.

Dalam pesanan penuh makna yang dikongsikan itu, David, 53, menasihatkan agar Masya Masyitah, mengejar pahala akhirat bukannya duniawi semata-mata.

“Ramai orang kejar pahala dunia, tapi tak ramai orang kejar pahala akhirat,” katanya.

Terdahulu, Masya Masyitah, 23, memuat naik gambar tidak bertudung dengan imej ala-ala Barbie di Instagram mengundang kecaman ramai.

Penyanyi itu sebelum ini sering dikecam kerana mempamerkan penampilan berhijab yang tidak sempurna.

Penerbit Syukur 21 itu juga berpesan, walau apa pun dugaan yang hadir dalam kehidupan, Masya Masyitah harus bersandarkan kepada Tuhan.

“Walaupun iman kita berbolak balik, kita sebagai manusia kenalah kembali kepada Tuhan,” katanya.

Dalam hantaran sama, David, berharap orang ramai mendoakan Masya Masyitah agar kembali ke pangkal jalan.

“Yang penting, kita doakan dia semoga mendapat hidayah ke jalan-Nya,” ujar David.