Skip to main
Logo Malaysiakini

Madu Miera Leyana diceraikan talak satu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Suami pelakon Miera Leyana, Rosland Othman, menceraikan isteri pertamanya, Adibah Abdul Mutalib dengan talak satu tepat jam 10.50 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Noraini Mohd Ali memutuskan demikian ketika prosiding pengesahan lafaz cerai daripada Rosland sebagai plantif terhadap Adibah, 50, selaku defendan.

Peguam mewakili Adibah, Mohd Junid Ramli, berkata Noraini membacakan hasil perbincangan jawatankuasa pendamai (JKP) yang dibuat kedua-dua pihak pada 13 Julai lalu.

“Apabila hasil perbincangan JKP gagal, mahkamah membenarkan plaintif melafazkan cerai terhadap pihak defendan dengan talak satu,” katanya kepada Malaysiakini.

Rosland dikatakan tetap dengan pendirian untuk bercerai atas alasan tiada persefaham dan tawar hati akibat tindakan Adibah kerana membuat kenyataan kepada media.

Rosland (tiga dari kiri) hadir bersama ibu Miera Leyana, Aishah Abdullah (dua dari kanan)

Bagaimanapun, Adibah enggan mengulas penceraiannya kerana masih terkejut dan bersedih dengan keputusan itu.

Rosland hadir bersama ibu Miera Leyana, Aishah Abdullah.

Sebelum ini, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai yang difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil JKP.

Madu kepada Miera Leyana itu dilaporkan tetap mempertahankan rumah tangga bersama suami walaupun perkahwinan mereka dilanda badai sejak dua tahun lalu.

Rosland dan Adibah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima anak yang kini berusia 11 hingga 26 tahun.

Pada 25 Julai 2020, Rosland berkahwin dengan Miera Leyana dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Sementara itu, Junid berkata, tarikh perbicaraan proses tuntutan hadhanah terhadap dua anak mereka, masing-masing berusia 11 dan 12 tahun, ialah pada 4 Sept ini.

Rosland sebelum itu memfailkan hadhanah pada 9 Mei lalu kerana berasakan dirinya layak bagi penjagaan kedua-dua anaknya itu.