Skip to main
Logo Malaysiakini

Hati Serina luluh dapat tahu Cef Wan kena kanser

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Serina Redzuawan mengakui hatinya ibarat kaca yang jatuh berderai ke lantai sebaik dimaklumkan bapanya, Cef Wan menghidap kanser limfoma.

Pendedahan itu katanya membuatkan dia tidak dapat menahan air matanya daripada tumpah.

“Semalam hati Serina ibarat kaca jatuh berkecai ke lantai bila dengar berita, papa hantar text beritahu dia ada kanser limfoma. 

“Memang sedih… saya tak tak dapat tahan air mata dan  menangis sepuas-puasnya,” katanya di Instagram.

Terdahulu, Cef Wan atau Redzuawan Ismail memaklumkan dia menghidap kanser limfoma melalui media sosial.

Kata Cef Wan, 65, dia didiagnos menghidap kanser itu selepas menjalani ujian di sebuah hospital semalam.

Tambah Serina, 39, dia masih boleh berbangga kerana bapanya itu menerima ketentuan Tuhan dengan tenang.

“Saya tahu ini ujian Allah SWT nak beri pada papa dan kami sekeluarga. Allah maha baik, pilih papa sebab papa insan berhati mulia dan selalu tolong, ceriakan hidup orang lain, bantu ahli keluarga dan adik-beradik. 

“Syukur alhamdulillah, papa reda. Dia tenang menerima ketentuan ini.

“Saya amat berbangga dengan papa. insya-Allah sakit tanda Allah sayang, mencuci dosa dan menaikkan darjat kita sebagai manusia,” katanya.

Pada perkongsian sama, Serina berharap, pihak yang menyayangi bapanya untuk mendoakan agar orang tuanya itu kembali sihat.

“Kami doakan papa kembali sihat. Kekal tabah. Ya Allah, Ya Syafi, berikanlah kesembuah buat papaku Redzuawan Ismail.

“Berikan dia hati yang kuat dan tabah serta reda dengan segala-galanya. Angkatlah kesakitannya, tingkatkan iman dan selalu dekatkan papa dengan Mu Ya Rahman, Ya Rahim, amin,” katanya.