Skip to main
Logo Malaysiakini

Shila Amzah sah bergelar isteri Ubai

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi terkenal, Shila Amzah, selamat bergelar isteri kepada pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau Ubai, tepat jam 10.27 pagi tadi.

Pernikahan pasangan terbabit dibuat dalam majlis yang berlangsung di Boathouse Ampang.

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa Shila, Amir Amzah atau ND Lala, di hadapan penolong pendaftar perkahwinan merangkap Imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Mohamad Khairi Hussein.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 manakala wang hantaran dirahsiakan.

Kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan artis hadir pada majlis bertemakan rona putih itu.

Pasangan itu mula menjadi akrab sekitar 2014 selepas mula mengenali antara satu sama lain tiga tahun sebelum itu.

Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang pada 27 Mei lalu.

Kedua-dua mempelai akan mengadakan dua majlis resepsi secara sederhana membabitkan ahli keluarga, rakan-rakan artis, rakan kongsi dari pelbagai negara.

Penyanyi Patah Seribu itu sebelum ini pernah bercerai dengan Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki diberi nama, Seth Uwais.