Skip to main
Logo Malaysiakini

Eizlan hilang suara dek bantu Annuar berkempen

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Biarpun hanya sesekali diberi peluang berucap di pentas politik, pelakon dan pengarah filem, Eizlan Yusof, sudah hampir hilang suara dibuatnya.

Eizlan sudah beberapa kali hadir memberi sokongan - sekali gus berkempen - bersama-sama Pengerusi Muafakat Nasional, Annuar Musa untuk PN sejak Julai lalu di beberapa lokasi.

Katanya, dia kagum benar dengan keupayaan Annuar walaupun ada waktunya bekas Setiausaha Agung Umno yang kini menjadi ahli PAS itu dilihat kurang sihat.

“Tan Sri (Annuar) tetap konsisten berucap di lokasi berbeza hampir setiap malam.

“Saya diberi peluang sekali-sekala untuk berucap pun hampir hilang suara, inikan pula (Annuar) setiap malam,” katanya.

Eizlan berkata demikian pada acara kempen bermotosikal PN bersama Kelab Motosikal ARC (Alternative Riding Club) di Gombak, semalam.

Turut bersama Eizlan pada acara itu ialah calon PN bagi DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin.

Tambah pelakon Impak Maksima itu, sepanjang tempoh turun padang untuk berkempen bersama-sama Annuar, figura berkenaan sangat fokus pada perjuangannya.

Kata Eizlan, Annuar yang mempunyai aura tersendiri sekali gus mampu menarik sokongan rakyat terhadap PN.

Eizlan (tengah) bersama Muhammad Hanif Jamaluddin

Susulan itu, Eizlan, 52, percaya PN mampu menang besar pada PRN kali ini.

“Sejak bersama-sama Tan Sri berkempen di setiap lokasi, saya melihat sendiri gelombang kebangkitan rakyat yang kecewa dengan kepimpinan di bawah perdana menteri.

“Rakyat dimomokkan dengan ‘gelombang hijau’ sebagai kebangkitan golongan ekstremis agama, walhal ini adalah gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.