Skip to main
Logo Malaysiakini

Awie terpalit kontroversi politik ekoran isu 'Harapan'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Nama penyanyi rock popular, Awie menjadi polemik di media sosial selepas rakaman perbualannya sewaktu konsert Wings - The Rock Emperor yang berlangsung pada 29 Julai lalu tiba-tiba tular.

Dalam video berkenaan, Awie dilihat bergurau dengan penonton sebelum salah seorang daripada mereka menyebut perkataan "harapan" dipercayai merujuk kepada judul salah satu lagu Wings.

Penyanyi dengan nama asal Ahmad Azhar Othman itu kemudian memberi respons yang mengaitkan harapannya dengan Pakatan Harapan (PH).

“Tengoklah kalau ada harapan. Rasanya Pakatan Harapan tu nak tumbang dah tu kat (di) Malaysia. Entah ada harapan ke tak, tak tahulah,” kata penyanyi Opera Hidup itu.

Awie, 52, kemudian meminta penonton memanjatkan doa agar politik di Malaysia hanya mengalami sesuatu yang terbaik saja.

“Kita doakanlah yang terbaik untuk politik Malaysiaku yang tercinta,” katanya.

Tak sengaja sebut

Menjengah ke ruangan komen, segelintir netizen mendesak agar lagu-lagu Wings diboikot selain mendakwa Awie kini memberi sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, Awie sebelum ini pernah terbabit secara tidak langsung dengan kempen berkaitan pilihan raya untuk BN selain bersikap terbuka menyokong PH.

Susulan itu, tular pula tangkap layar perbualan di antara Awie dengan rakannya yang juga pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki, berhubung ‘gurauannya’ mengenai PH.

Selain penghibur, Afdlin juga kini menjadi ahli PKR.

Dalam tangkap layar itu, Awie berkata, dia memohon maaf atas gurauan yang berlaku semasa konsert Wings selain diminta agar dia dijauhkan dari politik.

Afdlin Shauki

Penyanyi itu turut mengakui lawak spontannya tidak kena pada tempat dan masa.

“Itu salah gua (aku), cuma masa itu gua nak nyanyi lagu Harapan. Gua kaitkan sikit situasi yang gua nampak.

“Lepas itu gua minta doakan politik Malaysia ini jadi baik dan bagus. Gua tak sengaja tersebut. Sorry bro,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Afdlin berhubung tangkap layar berkenaan.

Bagaimanapun, Afdlin enggan mengulas sebaliknya cuma menghantar semula tangkap layar komunikasi dia dengan Awie melalui WhatsApp.

Untuk rekod, persembahan berdurasi dua jam di Singapura itu turut dijayakan Eddie (basis), Sham (gitar) dan Edrie Hashim (gitar).