Skip to main
Logo Malaysiakini

Anugerah Telenovela 9 janjikan karpet biru, bukan glamor semata-mata

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menjanjikan konsep anugerah lebih berprestij melalui ‘karpet biru’ penganjur Anugerah Telenovela kesembilan tampil dengan matlamat menjadikan acara itu tidak terbatas pada kemasyhuran dan glamor semata-mata.

Justeru, melalui acara Dis ini, Pengarah Eksekutif Intact Media, Rishi Ross, berkata para pemenang dijanjikan untuk dibawa bersaing di luar negara demi mengangkat martabatnya setaraf dengan anugerah antarabangsa.

“Jadi sesiapa yang menang tahun ini - sama ada sebagai raja atau ratu telenovela - kami akan bawa ke luar negara untuk bersaing dalam Anugerah Telenovela Antarabangsa," katanya.

Tambah Rishi semasa mengambil alih anugerah tersebut Intact Media turut mencipta pembaharuan pada logo, dan memperkenalkan sesi karpet biru.

Lokasi acara pula katanya diadakan di kompleks beli-belah Starhill.

Mengulas lanjur berkenaan konsep ‘karpet biru’ Rishi berkata, ia adalah kelainan yang cuba ditonjolkan pada penganugerahan kali ini terutama membabitkan undian daripada penonton.

Rishi Ross (tengah) menjawab soalan wartawan

Menurutnya, melalui konsep mengundi sambil menderma itu sumbangan akan disalurkan kepada penulis sedia ada dan yang baru.

“Apabila seseorang mengundi artis kesayangan mereka, sebahagian daripada sumbangan itu akan diberikan kepada penulis baru yang nak berkecimpung dalam penulisan novel, skrip mahupun produksi penggambaran, manakala sebahagian lagi disalurkan kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

“Justeru, kami berharap dapat meraih sokongan daripada semua artis, karyawan peminat seni novel atau telenovela pada anugerah kali ini.

“Ia juga adalah situasi menang-menang di antara artis dengan peminat.

"Artis akan menerima trofi manakala pengundi boleh memiliki hadiah bonanza seperti percutian ke Tokyo, memenangi kereta atau wang tunai,” katanya.

Rishi berkata demikian ketika ditemui baru-baru ini pada majlis pelancaran Anugerah Telenovela kesembilan di kompleks beli-belah Starhill di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara tahunan itu dibuat bagi menghargai penulis, penerbit, pembuat filem dan pekerja profesional audio Malaysia.

Anugerah Telenovela mempertaruhkan lima kategori iaitu Pelakon Wanita Popular, Pelakon Lelaki Popular, Novel Telenovela dan Pasangan Serasi dengan lebih 40 pencalonan bagi setiap kategori.

Menurut Rishi, Anugerah Telenovela juga adalah pengiktirafan kepada pekerja industri kreatif yang berjaya mengadaptasi karya dari buku (bercetakan atau elektronik) ke medium skrin dan audio visual.

“Ia bagi membantu bukan semata-mata artis perfileman, tapi karyawan yang mempunyai buku dan pada masa sama bantu seseorang yang berminat untuk menulis skrip.

“Kami berharap, dengan penganugerahan sebegini ia dapat merancakkan lagi pertumbuhan industri seni negara apabila bakat tempatan berpeluang untuk bertanding dengan negara-negara seperti Indonesia dan Thailand.

“Ia bertujuan membandingkan di mana tahap karyawan Malaysia dengan negara luar,” katanya.