Skip to main
Logo Malaysiakini

Battle Of The Band platform anak muda pamer bakat, karya

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Festival muzik Battle Of The Band (BOTB) bakal menjadi platform kepada anak muda yang ingin mempamerkan bakat dan karya mereka menerusi bidang muzik.

Justeru, Pengarah MASH Entertainment Sdn Bhd yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Hidayah (HERO), Dr Murad Hilmi Mohamed berkata, festival itu kini tampil dengan konsep serta format baru iaitu BOTB 2023.

“Festival ini adalah pertandingan yang bakal disertai generasi muda dalam bidang muzik untuk pamerkan bakat terpendam kepada umum.

“Ia akan dimulakan dengan pertandingan kugiran dan diakhiri dengan konsert mega.

“Apa yang ingin diketengahkan adalah menggarap muzik berkualiti dan bakat-bakat yang bakal meneruskan legasi untuk mewarnai industri muzik.

“Kami masih mengekalkan nama BOTB kerana ia sudah sinonim dengan kugiran,” katanya dalam sidang media BOTB yang diadakan di Hotel Royale Chulan, The Curve, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Murad, selain Malaysia, festival itu turut dibuka kepada mana-mana band atau kugiran dari seluruh Asia termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.

Untuk rekod, kali terakhir festival yang mencungkil bakat kugiran tempatan itu diadakan kira-kira 20 tahun lalu.

Mengenai penganjuran festival itu, kata Murad, objektif utama untuk membuka peluang kepada studio rakaman agar kembali bernafas semula.

Katanya, fenomena bakal tercetus dengan penganjuran festival itu, sekali gus akan menaikkan martabat penggiat seni tanah air.

“Semoga festival ini dapat memberikan impak besar kepada industri muzik tempatan dengan kepelbagaian genre muzik berkualiti tinggi.

“Kami mahu mencari bakat berkualiti yang mampu kekal relevan dalam industri muzik, bukan tenggelam selepas muncul dengan satu single saja,” katanya.

Artis legenda sebagai mentor

Sementara itu, mengulas acara itu, kata Murad, peserta perlu melalui sesi saringan peringkat pertama yang bakal berlangsung antara 7 hingga 10 September depan bertempat di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, barisan artis legenda BOTB seperti Lord Lokman (The Boys), pemain dram Ekamatra, Acid; ketua kumpulan dan pemain gitar Bloodshed, Hamdan dan Bagio Damasutra bertindak sebagai mentor program ini.

(Dari kanan) Acid, Bagio, Dr Murad, Hamdan, Lord Lokman dan Loco pada majlis pelancaran BOTB2023. 

“Lokasi Pasir Gudang dipilih kerana ia sinonim dengan BOTB sejak dianjurkan pada 1974.

“Seramai 15 peserta dipilih pada saringan pertama dan diuji sekali lagi pada sesi separuh akhir pada 23 September depan.

“Peserta akan diberi peluang menyampaikan lagu saduran dan cabaran. Contohnya, lagu Damasutra dalam genre rock balada, kita akan cabar peserta menyampaikan dalam rentak reggae dan melihat bagaimana membuat susunan semula muzik mengikut kreativiti,” katanya.

Kata Murad lagi, seramai 10 peserta terbaik akan dipilih untuk melayakkan diri ke peringkat akhir yang bakal berlangsung di Jobox, Angsana, Johor Bahru.

“Pemenang pertama bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi dan berpeluang merakamkan single baru. Tempat kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000.

“Kami juga bercadang menganjurkan pertandingan bagi musim kedua dan ketiga sekiranya festival ini mendapat sambutan peserta,” katanya.