Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua imam Pusat Islam Ireland terharu ketuai solat jenazah Sinead

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Imam yang mengetuai urusan pengebumian Sinead O’Connor berkata dia berasa mendapat penghormatan apabila terlibat dan menjadi sebahagian daripada proses tersebut.

Sheikh Dr Umar Al-Qadri yang juga ketua imam di Pusat Islam Ireland sebenarnya pernah bertemu penyanyi pop terkenal dari Ireland itu pada 2018.

Kata Umar, dia berasa amat bertuah kerana berpeluang untuk meraikan kehidupan penyanyi berkenaan.

“Saya bersyukur kerana berpeluang untuk memimpin solat jenazah anak perempuan Ireland, Sinead O’Connor atau Shuhada Sadaqat.

“Ia merupakan suatu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada majlis ini, dan saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada keluarga Sinead kerana mengiktiraf identiti Islamnya,” kata ulama tersebut seperti dipetik Independant.

Sinead, 56, meninggal dunia di London pada 26 Julai lalu dan dikebumikan di tanah kelahirannya Dublin dengan mengikut syariat Islam semalam.

Penyanyi itu mengucap dua kalimah syahadat pada 2018 dan menukar namanya daripada Magda Davitt kepada Shuhada Sadaqat. Bagaimanapun untuk sebarang aktiviti pentas dia mengekalkan nama Sinead O’Connor.

Sinead menghembus nafasnya yang terakhir kira-kira 18 bulan selepas anak lelakinya, Shane, 17, meninggal dunia.

Polis sudah mengesahkan kematian Sinead tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Ribuan orang termasuk vokalis U2, Bono, dan penyanyi serta aktivis kemanusiaan, Bob Geldof menghadiri pengebumian Sinead - yang juga rakan sekampungnya di Bray, yang terletak 20 kilometer di selatan ibu negara Dublin itu.

Jalan raya juga ditutup supaya peminat boleh memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Sinead dibawa ke tanah perkuburan.

Kenderaan yang membawa jenazah Sinead dikerumuni peminatnya ketika ia melalui jalan Bray, tempat allahyarham menetap selama 15 tahun.

Kemudian, kenderaan berkenaan berhenti di luar rumah bagi memberi peluang orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi yang terkenal melalui lagu hit Nothing Compares 2 U nyanyian asal Prince itu.