Skip to main
Logo Malaysiakini

Farid ceraikan Diana Danielle talak satu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle sah bercerai talak satu melalui aplikasi Google Meet yang dilangsungkan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam hari ini.

Prosiding itu dibuat secara dalam talian kerana Farid tidak dapat hadir ke mahkamah ekoran masalah kesihatan.

“Bahawa saya Farid Kamil Zahari menceraikan Diana Danielle Danny Beeson dengan talak satu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Hakim syarie, Shukran Yusof, kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu pada jam 3.22 petang.

Shukran juga memerintahkan Diana selaku plaintif menjalani tempoh idah selama tiga kali suci dan mendaftarkan perpisahan mereka di mahkamah sama. Sijil nikah mereka dibatalkan.

Terdahulu Diana, 31, mendakwa dia memohon untuk berpisah dengan bintang filem Anwar: The Untold Story itu kerana sudah tiada persefahaman, berlaku shiqaq selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Permohonan cerai itu difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 10 Mac lalu.

Bagaimanapun, Farid, 42, enggan melafazkan cerai dan pasangan itu juga tidak lagi tinggal sebumbung.

Mereka berkahwin pada 3 Nov 2012. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.

Dalam prosiding kali ini, Diana hadir di mahkamah dengan peguamnya, Akberdin Abdul Kader manakala Farid selaku defendan diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan.

Semasa prosiding, Akberdin berkata, dalam prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan tarikh hari ini untuk sebutan kes dan lantikan hakam namun, pihak plaintif dan defendan telah mencapai persetujuan berkaitan isu ini.

Akberdin: Kami ingin memaklumkan bahawa defendan bersetuju untuk melafazkan cerai petang ini.

Fakhrul Azman: Selepas berbincang, kedua-dua pihak telah mencapai kesefahaman dengan terma-terma perjanjian yang ditandatangani.

Shukran: Saya nak dapatkan kepastian, adakah encik (Farid) bersetuju untuk lafaz talak hari ini menerusi dalam talian?

Farid: Ya tuan, insya-Allah saya setuju.

Shukran: Plaintif, adakah anda setuju lafaz cerai dibuat melalui cara ini?

Diana: Ya, setuju.