Rosyam Nor: Kepada si penipu, tuhan nampak apa kamu buat
Pelakon dan penerbit Rosyam Nor tekad memilih saluran undang-undang jika imejnya sekali lagi disalah guna oleh scammer untuk tujuan mempromosi, mengaut keuntungan serta memperdaya orang ramai.
Kata Rosyam, dia tampil bersuara demi membersihkan imej yang terjejas susulan wajahnya digunakan tanpa izin oleh pihak-pihak tertentu untuk iklan skim pelaburan baru-baru ini.
“Bukan apa, sudah banyak kali wajah saya digunakan oleh scammer-scammer ini. Ramai rakan-rakan dan peminat menghubungi saya untuk bertanyakan hal ini.
“Mujur, tiada yang terkena. Tapi, selepas ini, saya tak akan teragak-agak untuk buat laporan polis jika ada yang masih berani gunakan imej saya tanpa izin.
“Selepas lapor pada polis, saya kemudian akan teruskan untuk ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Pemilik nama asal Mohamed Noor Shamsuddin itu turut memaklumkan, dia sudah melaporkan isu penipuan berhubung kewangan atau perdagangan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bulan lalu.
“Saya berharap SKMM akan mengambil tindakan dan membuat siasatan supaya nama dan wajah saya tidak terus-menerus disalahgunakan oleh pihak tak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui pada majlis Perintis Usanita 2.0: Meet & Mingle yang berlangsung di sebuah restoran, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu, pelakon Gila-Gila Remaja itu mendedahkan melalui Instagram dia menjadi mangsa manipulasi scammer yang menggunakan modus operandi kegiatan pelaburan saham.
Rosyam, 56, berkata imejnya antara lain sebelum ini turut digunakan untuk mempromosi jenama seluar dalam dan stoking.
Menurut pelakon yang juga terkenal melalui filem KL Menjerit itu, seorang daripada rakannya yang mempunyai masalah kewangan hampir terpedaya dengan iklan pelaburan terbabit.
“Dia tengah susah, jadi terfikir nak buat pelaburan sebab ada sedikit wang simpanan. Nasib baik, dia tanya saya dulu.
“Cuba bayangkan orang lain yang tak ada nombor telefon saya, macam mana mereka nak sahkan perkara itu? Sudah tentu, semua wang pelaburannya akan lesap,” kata Rosyam.
Jangan terpedaya
Pelakon itu berpesan kepada mana-mana rakan mahupun peminatnya agar tidak mudah terpedaya dengan iklan yang tidak dapat disahihkan kebenarannya.
“Jangan mudah terpedaya, buat semakan terlebih dulu di media sosial milik saya. Semua aktiviti saya akan dimuat naik untuk makluman semua di platform itu. Tapi, jika ia tiada, bermaksud, promosi itu tak sahih.
“Kepada si penipu, Tuhan nampak apa kamu buat. Mungkin suatu hari nanti Tuhan akan turunkan bala, jika ia tak terkena pada kamu, mungkin akan terkena pada keluarga. Jangan aniaya orang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Perintis Usanita 2.0: Meet & Mingle, Rosyam berkata kerjasama dijalinkan dengan Usanita Sdn Bhd bertujuan membantu usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam memajukan produk mereka.
Katanya, seramai 50 usahawan IKS yang terpilih berpeluang untuk menggunakan jenama dan imejnya dengan percuma.
“Kita berjaya jadikan mereka lebih maju dalam perniagaan. Paling penting, usahawan IKS ini dapat gunakan wajah saya sebagai duta produk mereka secara percuma. Kalau kena bayar, berapa ratus ribu nak dibayar?
“Dengan kerjasama ini, saya harap dapat bantu lebih ramai pengusaha muda memajukan perniagaan mereka. Itu saja yang saya mampu berikan pada peminat.
“Saya izinkan mereka gunakan jenama dan nama saya kerana tanpa peminat, tiadalah jenama Rosyam Nor hari ini. Inilah masanya untuk saya beri balik (balas jasa) kepada peminat saya,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai