Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosyam: Usia bukan penentu mutlak laku, tak laku pelakon

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon dan penerbit, Rosyam Nor, membuktikan dirinya masih boleh melariskan sesebuah filem sama ada dalam pasaran tempatan mahupun di luar negara walaupun usianya hampir mencecah 60 tahun.

Katanya, hal itu berlaku meskipun selepas 15 tahun tidak membintangi mana-mana drama bersiri, dan rata-rata penerbit memilih untuk mengetengahkan hero yang berusia lebih muda.

“Alhamdulillah, sangat tak sangka lakonan saya raih perhatian penonton lepas lebih 15 tahun tak berlakon drama bersiri.

“Laku tak laku, saya dah tunjuk laku. Maksudnya nama Rosyam Nor masih ada kekuatan tersendiri dalam kalangan penonton dan peminat.

“Bukan apa, saya cukup takut sebab dah lama tak keluar TV manakala Astro Original pula biasanya tampilkan hero muda sedangkan usia saya dah setengah abad berlakon pula cerita komedi,” katanya ketika ditemui di majlis Perintis Usanita 2.0: Meet & Mingle di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rosyam, 56, sebelum itu ditanya mengenai drama bersiri lakonannya, Jack Yusof, yang diarahkan Wan Hasliza Wan Zainuddin.

Dalam produksi itu Rosyam membawa watak utama, Jack, manakala pelakon lain termasuklah Sharifah Husna, Raja Ema, Rashidi Ishak dan Hafiz Halim.

Tua cara sendiri

Jack Yusof berkisahkan kehidupan melatari seorang bintang filem terkenal. Pada usia awal 50-an, Jack masih kelihatan muda kerana kerap menggunakan botox.

Biarpun hidup kaya-raya dan menjadi kegilaan ramai wanita, Jack banyak melakukan kesilapan dalam kehidupan peribadinya, termasuk meninggalkan anak perempuan, Aidam ketika dia masih bayi.

Kata Rosyam, semakan melalui aplikasi Parrot Analytics, Jack Yusof mendapat peratusan serta permintaan tinggi bukan saja di platform Astro malahan di luar New Zealand dan Australia.

“Mungkin kadar peratusan itu diperoleh melalui tontonan yang dibuat melalui platform Over The Top (OTT),” jelasnya.

Rosyam juga mengakui dia perlu memberi perhatian kepada faktor stamina dan kesihatan diri sekiranya ingin kekal relevan dalam industri di negara ini.

Justeru, kata Rosyam, dia bersyukur kerana pada usia sekarang pihak penerbit masih boleh menerima dia seadanya, dan tidak perlu melakukan perubahan drastik seperti pembedahan mahupun pengambilan ubat-ubatan tertentu.

“Usia makin lanjut tak boleh nak sekat. Alhamdulillah pada usia sebegini saya mampu berlari, berlakon dan memandu sendiri tanpa mengupah pemandu atau pengurus," katanya.

Mengenai pengambil ubat-ubatan atau botox, Rosyam berkata, ia bukan hanya melibatkan selebriti bahkan orang biasa.

Pun begitu, katanya, dia tidak berasa ia menjadi keperluan kerana bimbang terpaksa menanggung kesan daripada tindakan tersebut seperti muka menjadi kejang.

“Biarlah saya tua dengan cara saya, cuma saya mengakui ada tanam 9,000 ribu helai rambut,” katanya.