Skip to main
Logo Malaysiakini

Les' Copaque yakin tak goyang 'hasutan' Gabenor Bali

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Syarikat produksi siri animasi popular Upin Ipin, Les' Copaque Production tidak merasa tergugat atau bimbang dengan sikap bermusuh yang ditunjukkan Gabenor Bali, iaitu Wayan Koster.

Bercakap kepada Malaysiakini, Penerbit dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata, memang biasa ada ahli politik yang sengaja mengundang kontroversi setiap kali menjelang pilihan raya.

“Saya sudah hubungi pengamal media di sana untuk bertanyakan isu ini. Ia sama macam senario politik negara kita, apabila nak dekat pilihan raya, sudah pasti muncul ekstremis politik yang suka buat kontroversi.

“Bagi syarikat produksi, Gabenor Wayan Koster ini seorang individu yang suka cari populariti berdasarkan carian kepada latar belakangnya sebelum ini.

“Justeru, kami tak perlu beri respons kepada kata-katanya atau rasa terancam dengan tindakannya itu,” jelas Burhanuddin.

Tambah Burhanuddin, kenyataan Koster bukan sesuatu yang baru di Indonesia kerana sebelum ini pernah isu berbangkit mengenai Upin & Ipin.

“Sampai ia dibahaskan dalam Parlimen. Ada menteri yang berpendapat Upin & Ipin menjajah minda rakyat Indonesia secara halus.

“Ia mengakibatkan anak-anak Indonesia bercakap bahasa Melayu berbanding bahasa ibunda mereka,” katanya.

Koster menggesa generasi muda di Bali jangan menonton filem dari Malaysia, Upin & Ipin sewaktu berucap pada penyampaian hadiah pertandingan esei filem Jayaprana Layonsari di Dewan Perwakilan Rakyat Wilayah Bali, 14 Ogos lalu.

Dalam ucapannya itu, Koster berkata, budaya dari luar, teknologi dan cara kehidupan moden boleh berkembang, tetapi penduduknya dinasihatkan tidak meninggalkan budaya Bali.

Gabenor itu juga berkata, adalah lebih baik membangunkan produksi yang berakar pada tradisi dan budaya sendiri kerana Bali memiliki kekayaan berkenaan.

Dia malah menyeru rakyatnya untuk menonton Jayaprana Layonsari yang dikatakan boleh menjadi inspirasi bagi generasi di sana.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali Koster mengundang kontroversi.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi menarik balik hak tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2023 daripada Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI).

Pengguguran Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20, 2023 itu disebabkan sejumlah ketua daerah Indonesia khususnya Bali dan Kota Bengkulu menolak menjadi tuan rumah bagi pertandingan pasukan Israel.

Salah seorang individu yang diketahui menolak keras kedatangan pasukan Israel itu adalah Koster.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, hasil semakan ke atas platform media sosial produksinya mendapati, rata-rata wargamaya dari Indonesia juga didapati tidak menyokong kenyataan Koster.

“Apabila berlaku perkara macam ini, kami terus buat semakan antaranya di Facebook dan Twitter.

“Kami juga dapati netizen dari Indonesia tak bersetuju malah ada yang marah kerana lebih rela membenarkan anak-anak mereka menonton Upin & Ipin berbanding menengok sinetron,” katanya.

Ditanya sama ada pendirian Koster bakal melemahkan semangatnya untuk menghasilkan karya-karya baru untuk pasaran Indonesia, Burhanuddin menjawab ringkas: “Tidak.”

Katanya, Les’ Copaque sentiasa meneliti setiap kandungan sebelum diterbitkan di negara berkenaan bagi memastikan tiada isu yang boleh menyentuh sensitiviti.

“Kami tak pernah rasa down (lemah semangat) untuk perkara begini kerana kandungan yang dicipta sudah ditapis untuk pasaran Indonesia. Pasaran di sana besar.

“Kami fokus apa yang dipertontonkan akan membawa pengajaran kepada anak-anak,” katanya.