Skip to main
Logo Malaysiakini

Kris Dayanti kecam finalis Miss Universe Indonesia dipaksa telanjang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi yang juga anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengecam sekeras-kerasnya kes cabul yang didakwa berlaku ke atas finalis Miss Universe Indonesia 2023.

Antara lain peserta terbabit dikatakan dipaksa bertelanjang.

Kris Dayanti atau mesra disapa KD menegaskan sesebuah pertandingan kecantikan mestilah mengangkat martabat wanita, justeru, seharusnya ia tidak mengaitkan sebarang unsur salah laku seksual.

“Pertandingan kecantikan bagi wanita Indonesia adalah sebuah kesempatan untuk mengekspresikan karya dan prestasi.

“Maka kita harus menjunjung tinggi nilai-nilai dan norma budaya Indonesia di pertandingan antarabangsa, sesuai dengan harkat dan martabat wanita,” katanya.

Justeru, Kris Dayanti menyeru pihak berkuasa untuk segera menyelesaikan kes terbabit lebih-lebih lagi siasatan awal mendapati sesi pemeriksaan badan (body checking) itu dilakukan oleh individu yang bukan berkelayakan.

“Kes dakwaan salah laku seksual dialami finalis Miss Universe Indonesia perlu ditangani segera. Selain melanggar hak asasi manusia, salah laku seksual ini mencalarkan keyakinan masyarakat.

“Segala bentuk aktiviti pertandingan mesti menjunjung tinggi norma-norma dan mengikut peraturan,” katanya dipetik media tempatan.

Miss Universe Indonesia 2023 menjadi sorotan antarabangsa selepas timbul dakwaan gangguan seksual yang mensyaratkan pesertanya telanjang untuk acara mengambil gambar sewaktu sesi pemeriksaan badan dilakukan.

Kehadiran lelaki, CCTV

Sekurang-kurang 11 finalis melaporkan mendakwa mereka menjadi mangsa pemeriksaan badan itu kepada polis.

Dalam keterangan kepada pihak berkuasa, mereka mendakwa diambil gambar dalam keadaan tanpa busana di sebuah bilik hotel yang terdapat sejumlah lelaki dan dilengkapi kamera pengawasan CCTV.

Proses pemeriksaan badan itu dilakukan dengan kain rentang sebagai penghadang.

Sementara itu, Kris Dayanti yang lahir dalam dunia hiburan, turut menyeru agar semua pemain industri menolak gangguan seksual khususnya terhadap kaum wanita.

“Saya mengajak semua pemain industri hiburan dan seni budaya untuk menolak salah laku seksual. Undang-undang harus dikuatkuasakan walaupun terhadap sekecil-kecil kesalahan, ” tegasnya.

Kris Dayanti turut menitipkan pesanan kepada seluruh golongan wanita agar berani tampil bersuara dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka menjadi mangsa gangguan seksual.

“Kaum perempuan harus berani bersuara. Tak boleh ada toleransi terhadap salah laku seksual walau dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.