Skip to main
Logo Malaysiakini

Intan Najuwa kini isteri ahli perniagaan bergelar Datuk

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Intan Najuwa selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Ahmad Asraf Azman, dengan sekali lafaz pada jam 6.45 petang hari ini.

Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abd Wahid, 26, dinikahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Nooh Gadot di majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah resort di Pantai Desaru.

Dalam majlis yang bertemakan empat unsur alam ini, Intan menerima mas kahwin bernilai RM20,000 dan juga hantaran berjumlah RM222,000.

Angka dua menjadi pilihan sebagai lambang tempoh 2 tahun perkenalan antara Intan dan juga Mohd Asraf, 39.

Dalam majlis itu juga, kedua-dua mempelai tampil dengan dua busana rekaan pereka fesyen, Fizi Woo yang bernilai RM40,000 bagi sesi pernikahan manakala Teh Firdaus bagi acara bersanding dan acara potong kek. Tatarias pula oleh jurusolek terkenal, Alha Alfa.

Majlis yang dikemudikan oleh pihak Rimbunan Events & Whitebox itu berlangsung secara sederhana dan dihadiri kira-kira 150 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat dan selebriti.

Segala persiapan berlangsung selama sebulan dan pemilihan tarikh 18 Ogos itu merupakan tarikh yang signifikan kerana ia adalah hari ulang tahun kelahiran Intan Najuwa.

Majlis resepsi pasangan berkenaan yang bertemakan tradisional bakal berlangsung di Rimbunan Event Space, Johor Bahru, malam esok.

Pelakon drama bersiri Jesnita itu menzahirkan rasa syukur dan juga mengucapkan jutaan terima kasih buat semua tetamu yang hadir pada hari bahagianya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

“Doakan yang terbaik buat kami berdua dalam melayari rumah tangga.

“Walaupun sudah bergelar isteri, Intan akan terus menyambung karier lakonan serta mengutamakan juga pengajian Intan serta bisnes Intan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.