Skip to main
Logo Malaysiakini

Shila: Kalau sayang isteri, takkan kahwin dua

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi Shila Amzah antara individu yang meluahkan perasaan kurang selesa di media sosial susulan tular klip video seorang personaliti media sosial memujuk isteri pertama sebelum melangsungkan pernikahannya yang kedua.

Kata Shila, 33, seorang lelaki yang menyayangi isteri sepenuh hati tidak akan tergamak memadukannya dengan menikahi wanita lain.

“Kalau anda betul sayang isteri pertama, tak akan nak kahwin isteri kedua. Walaupun dapat izin daripada isteri pertama itu.

“Eh baran eh tengok TikTok hari ini. Fikir logik saja, jangan nak buat hantaran penghargaan panjang berjela untuk tunjuk bagaimana anda menghargai isteri pertama sedangkan mahu menduakannya,” kongsi Shila di aplikasi X.

Terdahulu, pempengaruh berkenaan memuat naik video memujuk isteri pertama usai solat bersama beberapa jam sebelum menikahi wanita lain.

Pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah itu dipercayai meluahkan emosinya selepas dia menyaksikan keruntuhan rumah tangga ibu bapanya.

Dikatakan perkahwinan ND Lala dan Fauziah Sarman berakhir akibat kehadiran orang ketiga.

Ibunya diceraikan beberapa hari selepas Shila menamatkan status ibu tunggal dengan pernikahan keduanya bersama pensohor media sosial, Ubai pada pada 5 Ogos lalu.

Kenyataan penyanyi Patah Seribu itu mengundang pelbagai reaksi termasuk segelintir lelaki yang tidak berpuas hati serta menuduh dia merendah-rendahkan agama dalam soal poligami.

Namun Shila berkata, dia bukan merendah-rendahkan agama seperti yang didakwa.

“Tak ada orang nak merendah-rendahkan agama. Jangan bercakap bagi pihak saya,” tegasnya.