Skip to main
Logo Malaysiakini

Langkah Cakra Khan di AGT terhenti, kini dukung Putri Ariani

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hasrat penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan, untuk mara lebih jauh dalam program televisyen AS, America's Got Talent (AGT) 2023 tidak kesampaian apabila cabarannya kini berakhir.

Berita sedih itu dikongsikan sendiri Cakra Khan melalui Twitter selepas mendapati namanya tiada dalam senarai peserta untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau dilihat menerusi Instagram, saya tidak masuk semua. Maaf ya. Mungkin saya perlu latihan lagi. Teruskan berjalan,” katanya.

Semakan menerusi akaun Instagram @agtauditions mendapati, nama penyanyi lagu Harus Terpisah itu tidak dinyatakan terpilih. Bagaimanapun rakan senegara Cakra Khan, Putri Ariani, sebaliknya bertuah kerana menambat hati juri.

Terdahulu, Cakra Khan, 31, memukau keempat-empat juri AGT termasuk Simon Cowell apabila menyanyikan lagu yang selalu dimainkan bapanya di radio, No Woman No Cry, dendangan asal Bob Marley.

Berlapang dada dengan keputusan itu, Cakra Khan terus menyatakan sokongannya kepada Puteri Ariani, remaja orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Malah Cakra Khan optimis kejayaan buat gadis berusia 17 tahun itu mampu membuat Indonesia berbangga.

“Kita sekarang dukung (sokong) Putri Ariani,” katanya.