Skip to main
Logo Malaysiakini

Diana Danielle dapat hak penjagaan penuh anak-anak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini memerintahkan agar hak penjagaan penuh kedua-dua anak Farid Kamil dan Diana Danielle diberikan kepada si ibu.

Perkara itu diputuskan dalam prosiding tuntutan hadanah di hadapan hakim syarie Zulfikri Yasoa.

Peguam syarie mewakili Diana, Akberdin Abdul Kader, berkata perkara itu turut mendapat persetujuan pihak defendan yang juga bekas suami Diana, Farid.

“Semuanya telah diselesaikan secara baik hari ini dan semua perjanjian antara kedua belah pihak telah dijadikan terma-terma mahkamah.

“Hari ini adalah (prosiding) untuk hak jagaan anak-anak," katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Akberdin menambah semua isu yang timbul diselesaikan secara baik dan tiada lagi sebarang pertikaian di antara Farid dan Diana yang belum diselesaikan.

Katanya selain hak penjagaan anak-anak yang diserahkan kepada Diana, terma-terma lain dalam persetujuan itu tidak dapat didedahkan kerana sulit.

Pun begitu Akberdin berkata semuanya sudah ditangani dengan menyeluruh.

Farid Kamil

Farid dan Diana sah bercerai dengan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.

Lafaz cerai dibuat Farid di hadapan hakim syarie, Shukran Yusof, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 Nov 2012. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan Muhammad, 11; dan Nur Aurora, 8.

Terdahulu, Diana memperolehi hadanah interim (hak penjagaan sementara) kedua-dua anaknya oleh mahkamah sama pada 23 Mac lalu.

Mengikut perjanjian sebelum ini, Farid perlu menghantar surat lima hari lebih awal kepada peguam bekas isterinya jika berhajat mahu bertemu dengan Muhammad dan Nur Aurora.

Sementara itu Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, enggan mengulas keputusan mahkamah.

“Saya tiada apa nak cakap mengenai prosiding hari ini. Benda yang sama saja.

“Pihak peguam saya yang akan kongsi semuanya,” katanya.