Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesan bekas isteri ND Lala: Berwaspada dengan individu dikenali

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas isteri penyanyi veteran, ND Lala, Fauziah Sarman menitipkan pesanan buat wanita bergelar isteri agar sentiasa berwaspada dengan sesiapa walaupun individu itu dianggap seperti kakak, adik, anak mahupun sahabat sendiri.

Fauziah berkata demikian sebagai meluahkan kekecewaan berhubung keruntuhan rumah tangganya selepas 34 tahun berkahwin dengan penyanyi Buah Hati Dikebas Orang itu.

“Tiada lagi air mata. Tiada lagi rasa menyalahkan diri sendiri. Justeru, sedikit rasa sebagai seorang wanita yang pernah menjadi isteri, rasa jiwa seorang ibu, ingin saya kongsikan supaya dapat menjadi pengajaran buat semua.

“Janganlah memberi ruang terlalu luas hingga mata menjadi kabur dengan drama yang diciptakan manusia seperti ini.

“Menjadi baik dan bersangka positif itu jelaslah perlu ada limit kerana tak semua manusia akan memikirkan lumat jiwa manusia lain,” katanya di Instagram.

Menurut Fauziah, dia tidak pernah terfikir ikatan perkahwinannya akan ternoktah dengan cara yang tidak sepatutnya.

Jelas Fauziah, rumah tangganya berkecai gara-gara tarikan seorang wanita muda yang juga bersahabat baik dengan anak sulungnya - Shila Amzah - sejak mereka di tingkatan satu.

Bertanya tentang spekulasi

Ibu kepada empat cahaya mata itu bahkan pernah berada dalam fasa penafian kerana perempuan terbabit dianggap seperti anak sendiri,dan sering mengikuti aktiviti mereka sekeluarga.

“Disebabkan kerjaya anak sulung saya, tempiasnya terkena kepada saya.

"Penamat ikatan perkahwinan ini dilakukan dengan cara yang tak kena untuk usia perkahwinan kami yang bukanlah muda malah kami sudah ada dua orang cucu.

“Tak mudah bagi saya apabila dapat tahu seorang perempuan seusia anak sulung malah menjadi BFF (best friend forever) anak dari tingkatan satu hingga lima di sekolah sama dikatakan sudah berkahwin sampai pada pengetahuan saya.

“Saya pernah berada di fasa penafian kerana perempuan ini saya anggap seperti anak sendiri, makan minum dan tidur di rumah keluarga kami. Acara kecil atau besar dia pasti ada,” katanya.

Spekulasi penceraian kedudukan rumah tangga ND Lala dan Fauziah akhirnya sampai ke penghujung apabila wanita itu mengakui sudah diceraikan oleh suaiminya.

Fauziah berkata, ND Lala melafazkan cerai pada 2 Ogos lalu sementara lafaz kedua dibuat 8 Ogos.

Berkongsi lebih lanjut, Fauziah berkata, dia pernah bertemu dengan wanita terbabit yang ketika itu bekerja dengan ND Lala untuk bertanyakan mengenai spekulasi mereka sudah sah bergelar suami isteri.

Namun hal itu dinafikan wanita tersebut.

“Beberapa hari selepas dapat tahu, saya bertemu sendiri perempuan ini yang bekerja dengan abah anak-anak saya.

“Jawapannya dia tidak akan melakukan (merampas) kerana dia menganggap kami suami isteri sebagai orang tuanya. Hakikatnya, ketika itu mereka sudah berkahwin,” katanya.