Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Apa lagi yang tersembunyi di sebalik Paloh?

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KOMENTAR SENI | Kalau ada pengarah filem yang mampu berdiri sendiri di luar pawagam sambil memegang selambak risalah protes di tangan sewaktu peluncuran filemnya sendiri, orang itu pastilah Adman Salleh.

Dia ialah pengarah yang pernah mencengangkan ramai orang dengan filemnya, Amuk. Namun entah mengapa nama Adman sering hilang dari radar dunia perfileman.  

Adman bukan seperti kebanyakan pengarah yang kita ada. Dia pernah merangkul lapan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-10 melalui Bintang Malam.

Dia juga mencatatkan kejayaan besar melalui filem Paloh dengan mengungguli enam anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-17. Malah Paloh terpilih untuk dipertandingkan ke Festival Filem Antarabangsa Bangkok 2004 dan menerima anugerah khas juri di Festival Filem Asia Pasifik ke-48 di Iran.

Adman tetap menjadi segelintir pengarah filem berprofil tinggi yang paling tidak banyak diperkatakan.

Dilahirkan pada 8 Okt 1949 di Pulau Pinang, Adman kini sudah pun berusia 74 tahun.

Memiliki kelulusan dalam bidang seni halus dari Institut Teknologi Mara (ITM), Adman memulakan kerjaya perfilemannya sebagai juruanimasi di Filem Negara Malaysia.

Beberapa tahun kemudian dia mengorak langkah yang lebih berani dengan menggalas tugas sebagai penerbit dan pengarah drama-drama keluaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum berhijrah ke stesen TV swasta pertama negara ini, TV3.

Adman juga pernah menjadi pensyarah dan dekan fakulti filem di Akademi Seni Kebangsaan yang kini dipanggil Aswara.

Sekitar Julai 2003, Adman pernah berkata: “Media tempatan terkejut apabila filem itu ditayangkan buat kali pertama. Orang ramai tidak menyangka filem sebegini akan dibuat di Malaysia. Walaupun persengketaan antara orang Cina dan Melayu semasa perang telah ditamatkan, hubungan kedua-dua kaum ini masih kekal menjadi suatu isu yang sensitif sehingga ke hari ini."

Menampar wajah sejarah

Entah mengapa Adman mengingatkan aku kepada kata-kata Akira Kurosawa yang dituliskannya dalam memoir Gama no Abura: Jiden no Yō na Mono: “Saya telah cuba membaca Das Kapital dan teori-teori materialisme dialektik, tetapi banyak yang saya tidak faham.

“Mustahil untuk saya menganalisis dan menjelaskan masyarakat Jepun dari sudut pandang itu. Saya hanya merasa kekaburan daripada ketidakpuasan hati dan kesamaran daripada rasa tidak suka saya yang disemai ke dalam masyarakat Jepun, dan bagi melawan perasaan itu, saya menyertai gerakan paling radikal yang saya ketahui.”

Nah, barangkali salah satu gerakan paling radikal yang pernah dicuba Kurosawa adalah melalui filem-filem mahakarya yang dihasilkannya.

Paloh di tangan Adman ternyata menjadi naskhah berbeza. Filem itu ditulisnya bersama Al Jafree Md Yusop pada mulanya berjudul Autonomi. Ia sama sekali berlainan daripada filem-filem sejarah dan kenegaraan yang pernah dihasilkan di sini.

Paloh adalah sebuah karya radikal yang bersifat revolusioner.

Radikalisme yang diisi dalam Paloh bukan sahaja diwakili pada aspek gaya penceritaan, malah melalui gagasan pemikiran yang menampar wajah sejarah yang diangkat sebagai perbahasan.

Revolusi pada pendekatan jungkir balik garis masa dalam membawakan penceritaan bersama beberapa lapis kaedah imbasan menjadikan Paloh seunik Adman.

Walaupun muncul sebagai sebuah karya yang ekstream dari sudut pandang dan aspek pemikiran, misi Adman sering disalah anggap.

“Kalau Jepun menyerah kalah, British datang balik, komunis masih ada.

"Kalau Jepun tak bunuh komunis, British bunuh komunis. Kalau Komunis tak bunuh Jepun, dia bunuh British,” itu dialog di antara Ahmad dengan bapanya yang menjadi kunci untuk memahami kompleksiti pemikiran Paloh.

World view Adman yang ada kemiripan gagasan radikalisme Kurosawa itu berhasil menonjolkan ideologi Marxisme melalui suatu materialisme dialektik dalam Paloh.

Kepintaran orang Melayu mengambil, menerap dan menyesuaikan apapun perkara seperti ghazal yang disorot Paloh. Ia seakan suatu perlambangan bahawa pelenturan ideologi politik dan pengamalan sistem sosial akan sangat mudah berlaku dalam kalangan Melayu.

Dipecat jawatan pengarah

Adman cuba memberitahu bahawa kita semua adalah mangsa siasah yang menghancurkan diri dan pemikiran melalui bermacam-macam projek penjajahan.

Bermula dengan latar pengunduran Jepun pada 15 Ogos 1945, diikuti penguasaan 14 hari Parti Komunis Malaya, kecelaruan yang disumbat dengan kekaburan hasil rasa benci dan tidak puas hati antara masyarakat Melayu dan Cina berterusan.

Malah lebih malang ia tidak pernah surut hingga ke hari ini.

Konflik Melayu-Cina itulah juga yang kerap muncul setiap kali adanya parti-parti politik mahu menggapai kuasa sama ada melalui pilihan raya atau jalan belakang secara rahsia.

Demikianlah kekuatan Paloh yang kita tahu sebagai filem kukuh sejak 20 tahun dulu.

Apa yang kita tidak tahu adalah peristiwa Siew Lan - seorang pengintip komunis - yang membawa lari kekasihnya, Ahmad, seorang Kempeitai untuk diselamatkan dari pembunuhan yang dirancang komunis adalah kisah benar.

Ya, ia adalah suatu peristiwa mengenai seorang Cina menyelamatkan nyawa Melayu!

Apa yang kita tidak tahu juga adalah, Adman dipecat daripada tugasnya sebagai pengarah, bahkan diberikan amaran agar menjauh serta berhenti daripada memberikan sebarang ulasan berkenaan filem yang dibidaninya sendiri itu.

Adman Salleh

Selain tidak memiliki directors cut, filem Paloh juga kehilangan banyak sekali footage akibat kerosakan kebanyakan negatif filem sewaktu proses suntingan.

Tiada yang tahu - atau mahu mengambil tahu - mengapa Adman berdiri berseorangan di luar dewan pada waktu pelancaran filem Paloh diadakan.

Sambil memegang risalah-risalah catatan tentang tantangan-tantangannya terhadap pihak yang disifatkannya perampas, masih banyak hal yang tidak kita tahu tentang Paloh.

Ironinya di sebalik suara Adman yang didiamkan itu, Paloh adalah sebuah filem sejarah kenegaraan yang diterbitkan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Mengapa sewaktu program tayangan dan apresiasi filem itu pada 17 Ogos lalu, Adman disisihkan? Dia tidak dijemput, malah difahamkan tidak dimaklumkan sama sekali mengenai program tersebut.

Ia berlaku di sebalik hakikat Paloh itu dibidankan oleh Adman.

Apa lagi yang kita tidak tahu tentang Paloh dan Adman?


HARIS HAUZAH ialah seorang lelaki antiperang yang sukakan filem peperangan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.