Skip to main
Logo Malaysiakini

Da'i Syed mahu saman dua wanita

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pendakwah selebriti, Da’i Syed bakal memulakan tindakan undang-undang terhadap dua individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan semula berkaitan fitnah terhadapnya di media sosial.

Syed berkata, dia nekad dengan keputusan itu disebabkan fitnah yang disebarkan turut mengaitkan keguguran dialami isterinya, Nurul Hana Ismail pada 26 Julai lalu dengan kifarah di atas perbuatan terdahulu.

“Individu terbabit mengaitkan peristiwa keguguran kandungan isteri saya sebagai kifarah yang saya terima disebabkan kes tersebut.

“Apabila kenyataan awal diterbitkan semula dan dikaitkan dengan keguguran kandungan isteri saya, saya tak boleh berdiam diri lagi kerana ini adalah sesuatu yang amat melampaui batas.

“Individu itu juga dilihat seolah-olah cuba mengambil kesempatan di atas kesedihan yang dialami oleh saya dan isteri. Hal ini merupakan satu kenyataan salah yang sengaja diada-adakan,” jelasnya pada satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.

Hadir sama, isterinya serta dan peguam Syed Amirul Syed Edros.

Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful sebelum ini dituduh merogol seorang wanita namun dia dibebaskan pada April lalu selepas mahkamah memutuskan kes prima facie tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Minggu lalu, wanita sama didakwa memuat naik semula kisah mengenai kes rogol membabitkan Syed, 28, di media sosialnya hingga tular.

Individu sama turut mengaitkan anak dalam kandungan isterinya yang gugur adalah disebabkan kifarah di atas perbuatan rogol yang didakwa dilakukan Syed.

Seorang lagi individu yang akan dikenakan tindakan undang-undang disebabkan menyebarkan fitnah yang diterbitkan pada 23 November 2021.

“Individu itu pernah membuat laporan polis pada 26 November 2021 menyatakan dia bertanggungjawab sebagai individu yang memuat naik hantaran dan memohon maaf kerana memfitnah saya.

“Laporan polis yang dibuat olehnya sebelum ini tak dapat menidakkan tindakannya yang telah memfitnah saya malahan melalui laporan yang sama, dia sendiri mengakui bertanggungjawab terhadap fitnah tersebut,” katanya.

Kata Syed, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang memfitnah dia dan keluarganya.

“Jangan salah langkah hingga melemparkan tohmahan yang melampaui batas terhadap saya. Saya tak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas mereka,” katanya.