Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahirine dibayangi bimbang lepas diekori, dihendap hampir setiap hari

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon yang semakin meningkat naik popularitinya, Ahirine Ahirudin, mendedahkan dia diekori dan dihendap oleh seorang lelaki hampir setiap hari sejak beberapa bulan lalu.

Kata Ahirine, dia juga bimbang untuk keluar rumah kerana berasa seperti diperhatikan oleh seseorang pada kebanyakan masa.

“Dia tahu alamat rumah saya malah pernah beberapa kali muncul di lokasi saya berada.

“Sejak itu, saya rasa tak selamat nak keluar rumah kerana seperti diperhatikan walau di mana saya berada,” katanya.

Lebih mengecewakan, menurut Ahirine, 27, individu yang sering menghendapnya di media sosial itu juga adalah seseorang yang dikenali sejak sekian lama.

Tindakan lelaki terbabit, kata Ahirine, sangat tidak disangka-sangka malah turut mengejutkan rakan-rakan yang mengenalinya.

Menurutnya dia mengenali lelaki terbabit sejak tiga tahun lalu namun kegiatan menghendap itu dilihat semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

“Dia mengakui sukakan saya. Nampaknya hubungan saya dengan dia sebagai sekadar kawan itu jelas sudah disalah anggap,” katanya.

Ahirine ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Tebus, di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya hari ini.

Filem mendapat arahan Jason Chong dan akan ditayangkan di platform penstriman digital Prime mulai hari ini.

Selain Ahirine, pelakon lain turut menjayakan Tebus ialah Aedy Ashraff, Azhan Rani, Idan Aedan dan Jay Iswazir.

Menurut Ahirine, lelaki itu juga mengganggunya di media sosial hingga dia terpaksa berhati-hati sebelum memuat naik sebarang kandungan di Instagram.

Menjelaskan isu itu lebih lanjut, Ahirine berkata, dia sudah menyekat lelaki terbabit daripada mengikut atau mengganggunya di media sosial tetapi masih belum berjaya.

Setiap kali dia disekat, kata Ahirine, lelaki itu akan muncul dengan akaun baru.

“Dia mudah salah faham dengan apa saja posting yang dimuat naik malah sering beranggapan setiap kata-kata ditujukan kepadanya, " kata Ahirine.