Skip to main
Logo Malaysiakini

Khaty: Kalau dah ajal, duduk saja pun boleh mati

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Biarpun berdepan maut, kesan risiko akibat komplikasi lazim berlaku disebabkan pembedahan bariatrik, penyanyi Khadijah Ibrahim berpendapat, ajal dan maut seseorang adalah ketentuan Tuhan

Kata Khadijah atau mesra disapa ibu Khaty, kematian adalah suatu kepastian bagi insan yang bernyawa cuma punca kematian saja berbeza.

Justeru, katanya, tidak wajar menyalahkan sesuatu di atas masa yang telah ditetapkan Allah.

“Saya percaya, seseorang akan meninggal dunia apabila masanya sudah sampai. Saya tak pernah terfikir seseorang boleh maut akibat prosedur pembedahan bariatrik.

“Apabila seseorang itu meninggal dunia, ia disebabkan your time is up (sudah tiba waktu). Kita kalau duduk saja (tak berbuat apa-apa) pun boleh mati.

“Kalau orang kata meninggal dunia disebabkan bariatrik, saya anggap itu sebagai asbab saja, selebihnya sudah ditentukan Tuhan,” katanya.

Malah, Khadijah, 64, turut menanggapi kata-kata kecaman segelintir pihak yang cenderung menuduh seseorang melakukan bariatrik demi kecantikan semata-mata.

Bagi penyanyi Ku Gembira Di Sampingmu itu, bariatrik dipercayai jalan penyelamat buatnya dalam menangani masalah kesihatan yang semakin merudum.

“Ini belum terjadi pada diri sendiri atau keluarga mereka. Sebelum bertindak mengecam, kaji dulu permasalahan.

“Kenapa tak menjadikan bottox atau pembedahan wajah demi kecantikan sebagai satu isu? Diri saya tahu apa mesti dilakukan. Apabila doktor beritahu perlu potong (usus) saya terus nak potong.

“Saya ada buah fikiran sendiri. Tak boleh nak dengar cakap-cakap orang saja sebab kita yang tahan sakit, takkanlah asyik nak kongsi pada umum,” katanya.

Khadijah ditemui pada sidang media khas diadakan bersama Pakar Usus dan Bariatrik Dr Mustafa Mohammed Taher di sebuah restoran di Ampang semalam.

Penyanyi itu antara segelintir selebriti yang melakukan prosedur bariatrik atau potong usus dan pembedahan itu dilakukan kira-kira tiga tahun lalu akibat berdepan pelbagai masalah kesihatan selepas membuang pundi hempedu.

Khadijah yang juga terkenal melalui lagu Ku Pendam Sebuah Duka itu berkata, sejak pembedahan dilaksanakan, dia antara lain berdepan masalah penghadaman selain berat badan semakin meningkat.

Justeru, Khadijah berkata, dia mengambil keputusan untuk melakukan bariatrik tanpa memikirkan cakap-cakap belakang mengenai risiko pada kemudian hari.

“Semua penyakit saya datang selepas buang batu hempedu. Apabila doktor lakukan bariatrik, barulah penghadaman berjalan lancar, senang nak tidur, solat malah nak berjalan pun mudah.

“Semua kembali seperti sedia kala macam sebelum buang hempedu,” ujarnya.