Skip to main
Logo Malaysiakini

Puteri Sarah dah penat, rimas kisah hidup dijaja pihak ketiga

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Puteri Sarah mengakui dia “penat" dan "rimas” dengan kisah hidupnya yang terus dikaitkan dengan kes saman menyaman terutama membabitkan seseorang yang didakwa 'menjual' di media sosial baru-baru ini.

Justeru, bekas isteri pengarah sensasi Syamsul Yusof itu berkata, dia nekad meneruskan tindakan saman terhadap individu terbabit agar tiada lagi penularan berita tidak benar yang boleh menjejaskan reputasinya.

“Saya sangka selepas bercerai dengan Syamsul bolehlah happy-happy dan dah tak ada masalah macam ini akan timbul lagi.

“Tapi, masih ada orang yang kongsikan di media sosial perihal saya dengan memburukkan, menjatuhkan maruah dan memfitnah. Saya tak kacau awak, jadi jangan kacau saya.

“Saya rimas dan serius rasa penat... Tak nak hal begini berlarutan.

"Jadi saya berharap sangat selepas apa dilakukan kali ini (teruskan saman), pihak di sana akan berhenti menjaja cerita,” katanya.

Tegas pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat itu, tiada lagi sikap bertolak ansur seperti yang pernah dilakukannya terhadap keluarga individu terbabit sebelum ini.

Pelakon Sabarlah Duhai Hati itu berkata, sebelum ini dia menarik balik saman berkenaan di atas persetujuan yang dilakukan secara saksama supaya dia dan Syamsul dapat mengakhiri rumah tangga mereka dengan baik.

“Kali ini saya memang buat betul-betul dan tak akan tarik semula. Saya tarik saman terdahulu kerana saya dan Syamsul sama-sama tak nak pening kepala.

“Tapi apabila kes cerai kami dah selesai timbul pula isu ini,” katanya yang ditemui pada sidang media pengumuman teater muzikal kanak-kanak berjudul Pak Pandir & Labu Ajaib di Seputeh, Ampang semalam.

Aktres itu bakal menjayakan teater terbitan JN Studio & Entertainment dengan membawa watak antagonis, Ratu Sukma, bersama barisan pelakon lain seperti Janna Nick, Bell Ngasri, Norreen Iman dan Aya Amiruddin.

Teater Pak Pandir & Labu Ajaib adalah arahan bersama Aminah Rhapor dan Amar Reza Zainal Abidin. Ia akan dipentaskan di Istana Budaya antara 13 hingga 15 Okt ini.

Puteri Sarah, 37, juga memberitahu dia sudah berbincang dengan Syamsul mengenai isu berkenaan dan pengarah filem Munafik itu memberi lampu hijau untuk dia memulakan proses undang-undang.

“Apabila saya dapat semua bukti itu, saya terus hubungi Syamsul. Saya tanya dia apa nak buat? Kita dah tak ada masalah, tapi orang pula ada masalah dengan kita.

“Syamsul kata pada saya: awak buatlah apa yang awak nak buat. Saya okay saja,” katanya.

Menurut Puteri Sarah, bekas ibu dan bapa mentuanya (ibu bapa Syamsul) turut kasihan dengannya kerana walaupun sudah bercerai dia masih belum merasai kehidupan yang tenang.

Dakwanya, mereka memberi keizinan untuk dia melakukan apa saja tindakan.

“Mereka kasihan dengan dan mahu saya jalani kehidupan dengan tenang. Mungkin ada yang kata saya ni tak habis-habis dengan isu ini,” katanya.