Skip to main
Logo Malaysiakini

Merdeka seni di Skoloh Buruk

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penganjuran acara seni yang bersifat mandiri, 'melawan' arus perdana dan lari daripada skema yang menuntut ikatan protokol tertentu jarang berlangsung di Kelantan.

Tidak ada gig dibolehkan, kecuali secara 'bawah tanah', rahsia dan yang penting berjaya dengan kelas tersendiri.

Kerana seni bersifat luas dan pada masa sama mempunyai had bagi pihak-pihak tertentu serta dipersetujukan di negeri Serambi Mekah, tidak ada kugiran atau buskers secara wewenang boleh memilih mana-mana kaki lima untuk beraksi sambil meletakan bekas sumbangan, atau menyampaikan ekspresi seni yang mengalir dari batang tubuh masing-masing.

Tidak ada juga tayangan filem secara terbuka dibolehkan, kecuali secara tertutup atau persendirian, atau apabila ada pembesar negara tertarik dengan filem bertema kepahlawanan Melayu milsanya.

Lalu diusahakanlah tayangan 'gergasi' demi meraih undi pilihan raya.

Di Kelantan juga, tidak ada penyair yang boleh tampil membaca sajak di jalanan, kecuali di tempat dan acara khas dengan pentas disediakan.

Lalu penyair yang berpakaian seperti orang ke pejabat atau berbaju batik akan tampil ke pentas lantas membacakan sajak-sajak yang siap dibukukan.

Lantas sempena 31 Ogos lalu iaitu tanggal hari memperingati kemerdekaan negara yang disambut setiap tahun, sekumpulan anak muda Kelantan tampil menghidupkan Skoloh Buruk dengan program pertama dinamakan sebagai Semuka yang membawa maksud bersemuka secara literal.

Mereka membangunkan idea dan 'merdekakan' bangunan bekas Sekolah Inggeris Kelantan yang diperkenalkan pada 1967. Bangunan itu sudah terbiar dan tidak digunakan sejak sekian lama.

Program seharian dan terkawal itu menyaksikan sisi-sisi lain anak seni yang sentiasa dahagakan ruang dan peluang dalam menghidupkan acara-acara yang tidak terkongkong.

Program tak berkala

Lalu tampillah sebahagian mereka sebagai peniaga buku, juruukir, peniaga bundle, baju T, kopi, dan lain-lain menghidupkan suasana baru di Skoloh Burok yang terletak di Kampung Sireh, Kota Bharu.

Juga diadakan acara pentas yang diisi dengan program bedah buku, bacaan sajak, tayangan filem, diskusi dan persembahan akustik.

Ia berlangsung dengan santai, spontan dan sederhana sekali gus mempamerkan semangat perpaduan dalam kalangan orang muda tanpa dipaksa-paksa.

Ia berlaku dengan sangat santai di sebalik hakikat bahawa ada antara mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain.

Koordinator Skoloh Buruk, Kodi Aiman, berkata dia dan rakan-rakannya mencetuskan idea itu selepas diperkenalkan dengan pemilik premis berkenaan.

Mereka kemudian diberi keizinan supaya bangunan yang mempunyai beberapa blok itu dimanfaatkan.

"Bermula dari itu kami rancang program pertama iaitu Semuka untuk memperkenalkan Skoloh Buruk yang berlangsung pada 31 Ogos lalu.

"Seterusnya kami merancang untuk anjurkan pelbagai program secara tidak berkala dengan memfokuskan tema seni, kebudayaan dan keusahawanan serta menjadikan Skoloh Buruk satu hub aktiviti anak muda di Kelantan khususnya," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, pada bulan-bulan akan datang Skoloh Buruk dijangka akan menganjurkan beberapa acara antaranya Festival Bundle dan Festival Buku Terpakai.