Skip to main
Logo Malaysiakini

Zarul dah sedia dikritik jika sertai All Stars Gegar Vaganza

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sedar bakal berdepan dengan kritikan pedas dalam program All Stars Gegar Vaganza walaupun sudah berstatus penyanyi berpengalaman, Zarul Umbrella berkata, dia akan menganggap situasi tersebut sebagai asam garam dalam perjalanan seninya.

Bahkan dia akan menerima kritikan berkenaan sebagai salah satu cara untuk memperbaiki dirinya sebagai penyanyi.

“Kita hari-hari belajar sebagai sebahagian daripada proses hidup sampai kita mati. Saya sendiri sampai sekarang masih banyak belajar,” katanya.

Pemilik nama penuh Zairulkefli Husin itu menegaskan tidak berasa goyah untuk berentap dengan 10 bekas juara Gegar Vaganza (GV) dari musim pertama hingga kesembilan di gelanggang All Stars Gegar Vaganza tersebut.

Kata Zarul, 49, jika akhirnya dia ditakdirkan kecundang dalam pertandingan itu, ia juga tidak dianggap suatu tamparan besar buatnya.

Penyanyi Ramalanku Benar Belaka itu berkata, dia selesa memandang keputusan menyertai program itu dari sudut positif.

“Saya sedar bahawa saya bukanlah terdiri dalam golongan artis-artis mega seperti Siti Nurhaliza mahupun Awie. Saya belum sampai tahap itu.

“Saya juga sedar yang saya ini artis one-hit wonder, jadi sekiranya terpilih menyertai All Stars Gegar Vaganza, perkara seperti ini sangat membantu dari sudut karier.

“Ia dapat menambahkan bilangan pengikut saya sebagai anak seni. Mungkin selepas itu tawaran berlakon drama atau filem turut bertambah," katanya.

Takkan ‘down’ selamanya

Ditemui pada Finale GV Jamming With The Stars di sebuah restoran di ibu kota malam tadi, Zarul berkata pertambahan pengikut di YouTube juga boleh berlaku sekiranya terpilih memasuki program berkenaan.

"Jadi, jika diadili agak teruk kerana nyanyian saya, itu OK saja," katanya.

Zarul mengulas demikian sekiranya namanya terpilih menduduki hot seat All Stars Gegar Vaganza yang dijadual bermula 24 Sept ini.

Selain Zarul, turut hadir dan membuat persembahan pada malam itu adalah Liza Hanim dan juara GV5, Noryn Aziz.

Sepuluh bintang yang bakal berentap pada musim kali ini adalah juara musim pertama iaitu Ayai, Siti Nordiana (musim kedua), Azharina (musim ketiga), Naqiu dan Hardy Mirza (musim keempat).

Turut bertanding adalah Aishah (musim keenam), Cliff Umar (musim ketujuh), Aliff Aziz (musim kelapan) dan Jaclyn Victor (musim kesembilan).

Peserta pilihan yang terdiri daripada pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat juga disenaraikan menerusi kerusi hot seat.

Bagaimanapun hanya lima peserta akan bertanding bersama 10 juara All Stars yang bertanding tahun ini. Pemilihan lima peserta itu akan dibuat berdasarkan undian orang ramai.

Mengulas lanjut, Zarul berkata, dia menganggap kritikan juri dan kecaman orang ramai sebagai suatu rezeki.

Katanya, walaupun mungkin disebut-sebut dari sudut negatif, sekurang-kurangnya namanya masih dikenang peminat industri muzik.

"Sebab orang tetap ingat kita. Nanti, suatu hari peminat akan bercerita: siapa artis yang tak berapa boleh menyanyi itu….

“Saya tetap akan dikenang, jadi apabila dikritik dalam sesebuah pertandingan itu biasalah. Memang pada awal akan berasa down. Tapi takkanlah saya nak down sampai bila-bila,” katanya.