Skip to main
Logo Malaysiakini

Penapisan seni tertinggi berlaku pada era Najib - ArtsEquator

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Malaysia dilaporkan mencatat jumlah penapisan kandungan tertinggi pada 2017 iaitu ketika negara ini di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Najib Razak sebagai perdana menteri.

Menurut Pangkalan Data Penapisan Seni Asia Tenggara, yang dikendalikan oleh ArtsEquator, Malaysia merekodkan 79 penapisan pada tahun berkenaan.

Pangkalan data itu juga mencatatkan sejumlah 245 penapisan di Malaysia dalam tempoh 12 tahun (2010 hingga 2022).

Bilangan tapisan paling rendah adalah pada 2011 apabila hanya dua kes dilaporkan.

ArtsEquator - yang berpangkalan di Singapura - melancarkan laporan Pangkalan Data Penapisan Seni Asia Tenggara pada awal hari ini dengan kerjasama kolektif seni tempatan, Five Arts Centre.

Pangkalan data itu menjejaki penapisan pihak berkuasa merentasi enam negara di rantau ini iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Penyelidik, Muhammad Zikri Abdul Rahman, berkata Malaysia mencatatkan jumlah tapisan tertinggi berbanding enam negara terbabit sepanjang tempoh 12 tahun.

Bagaimanapun, dia mengaitkan keadaan itu dengan dokumentasi yang lebih baik mengenai amalan penapisan di Malaysia berbanding negara lain.

Katanya dalam konteks Malaysia, pilihan raya umum merupakan faktor penting dalam langkah penapisan di negara ini.

“Penting untuk mengambil kira bagaimana iklim politik dan ketidaktentuan semasa pilihan raya dan tempoh berkempen boleh menyumbang kepada perkembangan yang berkaitan," katanya.

Dia memberi contoh mengenai pengharaman kartun Zunar yang mengkritik perdana menteri ketika itu, Najib, dan kontroversi yang menyelubungi skandal 1MDB.

“Selain itu, sistem sosiopolitik Malaysia yang banyak dipengaruhi oleh dinamik etnoagama kekal menjadi isu perbalahan dalam bidang awamnya, terutama dalam penghasilan seni dan budaya,” katanya.

Semasa proses pengumpulan data, Zikri berkata, 95 daripada tapisan itu dikenakan ke atas penerbitan, 79 ke atas filem, seni visual (31), kandungan dalam talian (15), muzik (10), seni persembahan (sembilan), kastam (tiga), dan pelbagai disiplin (tiga).

Laporan itu juga menyatakan 220 daripada 245 tapisan dikuatkuasakan oleh institusi dan entiti negara seperti Kementerian Dalam Negeri, Lembaga Penapisan Filem, dan institusi agama negeri.

Zikri menambah, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Kawalan Penerbitan Import 1958 didapati menjadi punca utama langkah tapisan penerbitan dibuat sepanjang tempoh penyelidikan tersebut.

Pangkalan data ArtsEquator boleh diakses di sini.