Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyanyi, pelakon era 1980-an, Mek Habsah meninggal dunia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi, pelakon dan pelawak popular era 1980-an, Mek Habsah meninggal dunia akibat masalah paru-paru kronik di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur pada 2.45 pagi tadi.

Allahyarham berusia 67 tahun.

Cucu Mek Habsah iaitu Huraimi Hilman memaklumkan berita dukacita itu melalui hantaran di Facebook.

“Selamat berehat nendaku Habshah Bakar. 

“Innalillahiwainnailaihirajiunm. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali,” katanya.

Kesihatan Mek Habsah atau nama sebenarnya Habshah Bakar dilaporkan mulai merosot sejak dimasukkan ke IPR, 12 Julai lalu.

Mek Habsah sudah lebih 20 tahun menderita sakit paru-paru dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan oksigen.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis 1 pada jam 10 pagi ini untuk disolat dan dikafankan manakala disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah selepas solat Zohor.

Selain membintangi filem dan deretan drama, Mek Habsah juga pernah muncul dengan album atas siri Asam Pedas bersama Allahyarham Yahya Sulong dan Allahyarham Maidin.